BERANG Dihon Pemandu Perempuan. Tindakan Lelaki Ini Bawa Padah. | Petaling Jaya: Akibat marah dihon oleh pemandu wanita, seorang lelaki bertindak mengacukan ‘pistol’ ke arah mangsa dalam kejadian di Damansara Damai, di sini, Isnin lalu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 32 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara, 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 36 tahun yang juga pemandu e-hailing.

“Dalam kejadian 3.15 petang kelmarin, mangsa yang memandu Perodua Aruz dalam perjalanan mengambil penumpang di Damansara Damai dan membunyikan hon kepada kereta Proton Wira yang bergerak secara teragak-agak di hadapannya.

“Akibatnya, pemandu kereta itu menunjukkan objek menyerupai pistol melalui tingkap kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan risikan sepasukan polis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit kejadian itu.

Katanya, pemeriksaan menemui sepucuk pistol mainan berwarna hitam bertulis ‘Made in China’ berserta kelopak peluru di pinggang suspek.

“Hasil soal siasat suspek mengaku menunjukkan pistol itu disebabkan marah kepada mangsa yang membunyikan hon terhadapnya.

“Semakan lanjut mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply