BKM 4 HARAM Diterima Rakyat – Tun Mahathir. | MELAKA: Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan kuasa yang ada kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri caretaker, selepas Naib Presiden UMNO itu meluluskan peruntukan RM2.1 bilion bagi pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 yang diterima rakyat mulai esok.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, memandangkan kerajaan Persekutuan yang mentadbir negara selepas pembubaran Dewan Rakyat adalah sebuah kerajaan caretaker, Ismail Sabri tidak boleh meluluskan sebarang peruntukan kerana ia perlu mendapat kelulusan Parlimen.

Tegasnya, oleh itu bayaran BKM berkenaan haram diterima rakyat kerana tidak sah dan tidak halal memandangkan dakwanya perbuatan itu sama sahaja seperti mencuri duit rakyat.

“Bila tidak ada Parlimen yang telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dia (Ismail Sabri) tak boleh buat apa-apa usul.

“Dia tak boleh belanja wang yang banyak kerana semua perbelanjaan dan semua usul mesti diluluskan dalam Parlimen, barulah wang tersebut jadi halal.

“Nampak sangat dia tak boleh tunggu kerana dia nak pengaruh, nak dapat undi maka dia ambil duit kerajaan berjumlah RM2.1 bilion nak bagi pada semua orang,” katanya semasa berucap pada Himpunan Pejuang Melaka di Taman Cempaka di sini, malam tadi.

Program tersebut dihadiri lima calon GTA yang bertanding di Parlimen Masjid Tanah, Tangga Batu, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

Khamis lalu, Ismail Sabri mengumumkan, bayaran BKM yang sepatutnya diterima rakyat Disember ini dipercepatkan bagi membantu menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

BKM Fasa 4 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula esok dan dijangka selesai 18 November ini, iaitu sehari sebelum rakyat keluar mengundi PRU15.

Tambah Mahathir, peruntukan tersebut hanya menjadi halal jika usul itu dibawa ke Parlimen dan diluluskan.

“Bila tidak ada Parlimen dia gasaklah. Ini lah Ismail Sabri awal-awal lagi kita nampak semua pemimpin Barisan Nasional (BN) asyik curi duit sahaja, tak boleh lepas ada peluang nampak duit sahaja dibalunnya,” ujarnya.

SUmber : UM

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

‘Pacak bendera membazir, kos boleh bantu orang miskin’

PUTRAJAYA: Calon Bebas P125 Putrajaya, Samsudin Mohamad Fauzi menyifatkan penggunaan bahan kempen secara melampau oleh parti politik ketika ini dilihat sebagai satu pembaziran.

Menurutnya, kos menyediakan bahan kempen termasuk bendera dan poster bukanlah murah dan ia dilihat membazir di saat rakyat berdepan kesukaran hidup.

“Dana bagi bahan kempen itu sebenarnya boleh digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Bayangkan, kos satu bendera sahaja antara RM3 hingga RM6 ditambah pula kos batang pemacak sekitar RM2 hingga RM4. Anda boleh kira berapa banyak bendera itu dipacak di satu-satu kawasan.

“Bendera parti yang kita lihat kini dipasang di merata-rata tempat termasuk di sepanjang jalan, laluan strategik, persimpangan lampu isyarat,

“Kita ambil contoh kos untuk sebatang bendera dipacak sekitar RM10. Bayangkan kos yang digunakan bagi satu presint, kampung dan seluruh negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Samsudin berkata, zaman sudah berubah seiring perkembangan teknologi, justeru bentuk kempen juga perlu diperluaskan khususnya menerusi media sosial.

“Cara berkempen seperti zaman dahulu tidak lagi wajar kerana pelbagai saluran dan medium tersedia untuk mendekati hati rakyat,” katanya.

Katanya, sebagai contoh, calon yang bertanding juga boleh menyimpan dana bahan kempen dan gunakannya kemudian hari untuk menunaikan janji dan manifesto jika terpilih sebagai ahli Parlimen.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply