Buat Hal Lagi, Polis Akan Panggil ‘Karen’ | Wanita warga asing atau digelar ‘Karen’ oleh warganet yang tular beberapa kali di media sosial akan dipanggil polis. Baca seterusnya…
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil seorang wanita warga asing untuk dirakam keterangan selepas satu klip video menunjukkannya bertengkar dengan pengawal keselamatan ketika dihalang masuk ke sebuah pusat beli belah di Bangsar tanpa memakai pelitup muka, tular di media sosial.

Polis mengesan klip video yang dimuat naik menerusi Twitter itu pada jam 11.30 malam, semalam sebelum satu siasatan dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan wanita itu yang digelar sebagai ‘Karen’ oleh warganet.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata identiti wanita berusia 51 tahun itu sudah dikenal pasti dan polis dalam tindakan untuk merakam keterangannya.
Menerusi rakaman itu kelihatan pengawal keselamatan menghalang wanita itu daripada masuk ke pusat beli-belah berkenaan kerana tidak memakai pelitup muka.
“Hasil penelitian ke atas klip video yang tular itu kita mendapati berlaku pelanggaran SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21a Akta 342 danPeraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi berkaitan video tular ini bimbang mendatangkan kegusaran awam.
“Sebarang perlanggaran SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kita mohon saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan,” katanya.
Sementara itu, wanita sama dikatakan turut menimbulkan kekecohan ketika dihalang masuk ke sebuah butik mewah di KLCC oleh kakitangan butik terbabit kerana tidak memakai pelitup muka, beberapa hari sebelum kejadian di Bangsar.

Satu rakaman video berhubung kejadian itu turut tular di laman Twitter dan Amihizam turut mengesahkan kejadian itu dilakukan oleh wanita sama.
Kejadian di KLCC itu turut mendapat respons Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Sumber: Berita Harian