Murid tadika

Budak Tadika ‘Halau’ Penculik Guna Penyapu, Siap Betulkan Kopiah Dulu.

“Dalam keadaan tergesa-gesa, dia sempat membetulkan kopiah di kepala”


Dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan kes culik kanak-kanak yang sering menjadi tajuk utama berita. Sebuah tadika di selatan Thailand tampil mengambil langkah proaktif dengan mengadakan simulasi keselamatan.

Namun, siapa sangka. Sesi latihan yang sepatutnya penuh pengajaran itu bertukar menjadi detik lucu apabila seorang murid lelaki bertindak ‘mengajar semula’ cikgunya yang menyamar sebagai penculik dengan penyapu di tangan!

Latihan keselamatan bertukar aksi spontan

Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Salisa. Kelihatan seorang guru wanita berpakaian seperti penculik dan membawa objek menyerupai parang plastik. Guru tersebut berlakon seolah-olah ingin menculik seorang murid lelaki dengan menariknya keluar dari kelas.

Pada awalnya, semua berjalan seperti dirancang. Murid-murid yang lain memerhati, dan murid lelaki berkenaan dilihat cuba melawan. Namun, siapa sangka, skrip latihan itu berubah sekelip mata!

Sebaik sahaja murid tersebut terjatuh ke lantai kerana ‘ditarik’ oleh guru. Dia dengan pantas mencapai sebatang penyapu yang kebetulan berada berhampiran kerusi.

Dalam keadaan tergesa-gesa, dia sempat membetulkan kopiah di kepala. Gaya bersedia seperti pahlawan kecil, sebelum bangkit dan mengejar “penculik” tersebut dengan penuh semangat.

Cikgu lari, murid kejar dengan penyapu

Tindakan spontan itu menyebabkan guru berkenaan terkejut besar dan segera melarikan diri sambil ketawa. Sementara itu, kanak-kanak tersebut terus mengejar cikgunya sambil menghayunkan penyapu panjang, menyebabkan suasana dalam kelas bertukar riuh rendah dengan gelak tawa guru-guru lain.

Seorang lagi guru yang berada di situ segera berlari ke arah pelajar berkenaan untuk menenangkannya. Walaupun lucu, jelas kelihatan tindak balas murid itu datang daripada naluri mempertahankan diri. Sesuatu yang jarang dilihat pada usia sekecil itu.

Rakaman berdurasi kurang satu minit itu kini tular dengan ribuan tontonan di TikTok, dan rata-rata netizen kagum dengan keberanian serta reaksi spontan murid tersebut.

@salisa.ll นาทีชีวิต! เด็กวิ่งหนีโจร❌ โจรวิ่งหนีเด็ก✅ #ครูล๊ะฮ์ #คุณครูอนุบาล #อนุบาลมะฮัดฯ #ซ้อมหนีภัย #เหตุเกิดในโรงเรียน ♬ เสียงต้นฉบับ – เพลงรวม 🎶 Mix songs – เพลง🎵songs

Netizen kagum, puji semangat ‘hero kecil’

Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial terhibur dan dalam masa sama memuji tindakan bijak kanak-kanak itu.

“Budak ni bukan calang-calang, sempat betulkan kopiah dulu sebelum ‘bertempur’. Legend!”, tulis seorang pengguna.

“Patut bagi anugerah keberanian kat budak ni. Dia betul-betul faham mesej simulasi tu!”, komen yang lain.

“Saya tengok banyak kali part dia kejar cikgu tu. Kelakar tapi dalam masa sama bangga tengok semangat dia.”

Selain reaksi lucu, ramai ibu bapa turut memuji inisiatif sekolah tersebut yang sanggup menganjurkan latihan simulasi keselamatan untuk kanak-kanak sejak di peringkat awal pendidikan. Mereka menganggap ia langkah penting untuk memastikan murid faham apa perlu dilakukan jika berdepan situasi mencurigakan di dunia sebenar.

Tujuan simulasi: bukan untuk takutkan, tapi mendidik

Menurut laporan media tempatan, latihan seperti ini bukan perkara baharu di Thailand mahupun di negara lain. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak agar tidak mudah mempercayai individu yang tidak dikenali, tidak keluar dari kawasan sekolah tanpa pengawasan, dan tahu menjerit atau melarikan diri apabila berdepan bahaya.

Walaupun sesetengah orang mungkin menganggap ia terlalu ekstrem untuk anak kecil, ramai pakar pendidikan bersetuju bahawa simulasi praktikal jauh lebih berkesan berbanding sekadar teori. Dalam kes ini, tindakan pelajar tersebut menjadi bukti bahawa latihan seperti itu benar-benar meninggalkan kesan.

Lucu tapi penuh pengajaran

Aksi murid tadika itu bukan sahaja mencuit hati netizen, tetapi juga menjadi peringatan kepada semua ibu bapa dan pendidik tentang pentingnya pendedahan awal terhadap keselamatan diri.

Mungkin pada pandangan orang dewasa, ia sekadar “drama kecil” dalam bilik darjah, tetapi bagi anak sekecil itu  keberaniannya untuk bertindak melawan “penculik” adalah sesuatu yang wajar dibanggakan.

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan pelbagai ancaman terhadap keselamatan anak-anak, keberanian dan kepekaan seperti itu boleh menjadi perbezaan antara bahaya dan keselamatan.

Share.
Leave A Reply