Zainal Rashid

Diam-Diam Pulang, Teguh Dengan Prinsip. Inilah Zainal Rashid, Pejuang Tak Mahu Dijulang!

“Kami tahu dia tak suka disambut-sambut atau dijulang. Itu bukan dirinya”


 

Dalam suasana penuh emosi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam. Ramai yang menantikan kepulangan wira-wira kemanusiaan dari Turkiye.

Namun, di sebalik kesibukan dan sorakan orang ramai. Kelibat seorang figura yang cukup dikenali  Zainal Rashid Ahmad (ZRA) tidak kelihatan.

KELUAR SENYAP-SENYAP

Rupanya, bekas wartawan berusia 58 tahun itu sudah meninggalkan lapangan terbang terlebih dahulu. Hasil perancangan teliti rakan-rakannya yang mahu memastikan beliau dapat pulang ke rumah dengan tenang tanpa tumpuan media dan khalayak.

Langkah itu, menurut rakan baiknya Syahril A. Kadir, dilakukan bukan kerana Zainal mahu melarikan diri daripada perhatian, tetapi kerana beliau seorang yang tidak gemar dijulang atau disanjung.

“Kami tahu dia tak suka disambut-sambut atau dijulang. Itu bukan dirinya,” kata Syahril dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Zainal Rashid

Menurutnya, ZRA tiba di kediamannya sekitar 12.30 pagi, dalam keadaan letih namun masih mengekalkan gaya ‘rugged’ yang menjadi identiti peribadinya sejak dahulu. Dengan hanya sebuah beg kecil berisi pakaian dan ubat-ubatan, beliau menyambut rakan-rakan dengan tenang.

“Ini ajalah yang ada,” ujar ZRA sambil tersenyum kepada rakan-rakannya, seolah-olah mahu menggambarkan bahawa perjuangan sebenar bukan pada penampilan, tetapi pada keikhlasan hati.

CABARAN BESAR

Difahamkan, ketika KLIA semakin sesak dengan kehadiran orang ramai dan media, pergerakan membawa keluar ZRA menjadi satu cabaran besar.

Namun, berkat strategi rapi oleh pasukan rakan-rakannya termasuk Syirfan, misi itu berjalan lancar tanpa menarik perhatian umum.

“Dia bukan mahu lari, tapi dia mahu ruang. ZRA tidak mahu dirinya dijadikan tontonan atau bahan politik. Itu prinsipnya,” jelas Syahril lagi.

Zainal Rashid

Sebelum ini, ZRA bersama 26 sukarelawan lain menyertai misi kemanusiaan yang berlepas dari Turkiye. Misi tersebut bagaimanapun diganggu apabila kapal dinaiki mereka dipintas dan ditahan oleh tentera zionis, menyebabkan 23 aktivis termasuk beberapa rakyat Malaysia ditahan secara tidak sah.

Antara aktivis lain yang terlibat ialah PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif.

PRINSIP PEJUANG

Kepulangan ZRA bukan sekadar simbol kejayaan misi kemanusiaan itu, tetapi juga lambang keteguhan prinsip seorang pejuang yang tidak pernah mencari populariti.

Beliau dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara, berani menegakkan kebenaran, dan tidak pernah gentar walau berdepan tekanan.

“ZRA tidak suka cakap kosong. Apa yang dia tulis, itulah yang dia buat. Kalau orang lain hanya berdegar-degar di media sosial, dia pula turun padang dan bertindak,” ujar Syahril.

Beliau menambah, ramai mungkin tidak memahami cara dan pendirian tegas ZRA, namun mereka yang mengenalinya tahu bahawa segala tindakannya berasaskan prinsip dan kejujuran.

“Kita boleh setuju atau tidak setuju dengan cara dia, tapi kita tidak boleh nafikan keberaniannya. Itu cara dia, jalan dia dan pilihan dia. Suka atau tidak, itulah Abang Nal yang kami kenal.”

Kini, selepas perjalanan panjang yang menguji kekuatan fizikal dan emosi, Zainal Rashid Ahmad akhirnya kembali bukan sebagai wira yang mahu disanjung, tetapi sebagai insan yang tetap teguh dengan pegangan hidupnya: berjuang dalam senyap, berprinsip tanpa kompromi.

Share.
Leave A Reply