Covid-19. 3 Kluster Baharu Direkodkan Hari Ini. | Kuala Lumpur: Tiga lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Kapor, Kluster Hampar dan Kluster Penjara Tapah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Kapor membabitkan daerah Kudat, Sabah yang dikenal pasti melalui hasil saringan komuniti pelaut yang menetap di Kampung Tanjung Kapor.

“Sebanyak 46 kes positif pada 22 Oktober lalu dan mereka dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud, Sabah.

“Bagi Kluster Hampar pula membabitkan daerah di Rembau, Negeri Sembilan dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 21 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Rembau.

“Hasil saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19 manakala 477 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Noor Hisham berkata, kluster ketiga iaitu Kluster Penjara Tapah membabitkan daerah Batang Padang, Perak.

“Sebanyak 11 kes dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan yang dijalankan di Penjara Tapah bermula dari 12 Oktober lalu.

“Semua kes dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Teluk Intan. Saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif Covid- 19 manakala 437 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham menjelaskan konsep yang digunakan dalam pemberian nama bagi kluster baharu berdasarkan latar belakang kes indeks bagi kluster terbabit.

“Nama kluster dipilih berdasarkan nama bangunan, taman atau jalan tempat kediaman atau tempat kerja kes indeks.

“Ini adalah bagi memastikan komunikasi berkesan di antara pihak yang terbabit dalam kawalan dan pengurusan kluster,” katanya.

Menurutnya, nama kluster juga boleh dipilih bagi menggambarkan cara penyebaran jangkitan antara kes indeks dan kontak rapat seperti Kluster Auto yang menggambarkan jangkitan kluster di tempat kerja membabitkan pekerja di syarikat automotif dan Kluster Inai yang menggambarkan jangkitan kluster bermula daripada majlis berinai.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat berhati-hati dalam pemilihan nama kluster bagi mengelakkan sebarang keresahan dan stigma kepada pesakit, penduduk setempat mahu pun organisasi yang terbabit.

“KKM juga sentiasa melakukan pengesanan kes secara aktif di lapangan bagi memastikan kesemua yang terbabit disaring dan diasingkan daripada komuniti sekiranya didapati positif jangkitan Covid-19,” katanya.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply