Jumpa Bayi Dalam Kotak Bersama Nota Minta Maaf. | Tanjung Karang: Seorang bayi lelaki ditemui dalam kotak bersama nota meminta maaf dipercayai tulisan penjaganya, di pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru di sini, hari ini.

Buang Baby

Bayi yang cukup sifat dan sihat itu ditemui Ketua Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Mohd Maidin Abdul Rahim ketika dalam perjalanan ke sekolah pada 7.15 pagi.

Mohd Maidin, 38, berkata, di dalam kotak itu turut disertakan lampin pakai buang, bedak dan tisu basah.

“Saya ketika itu mahu ke sekolah untuk meninjau kerja pembersihan dan nampak kotak di pintu pagar surau yang pada mulanya menyangka ada orang membuang anak kucing.

“Kebetulan kotak itu ditutup dengan kain biru, jadi saya ambil keputusan untuk tengok dan selak kain itu. Terkejut saya apabila melihat bayi di dalamnya.

“Nota tulisan tangan itu yang disertakan, antaranya memohon maaf kerana tidak mampu membesarkan bayi itu disebabkan faktor ekonomi dan berterima kasih kepada individu yang sanggup menjaga bayi itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Maidin mendakwa bayi itu mungkin ditinggalkan selepas Subuh kerana surau berkenaan mengehadkan jemaah untuk bersolat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Saya maklumkan penemuan itu kepada jemaah surau dan mereka beritahu tidak perasan kotak berkenaan di pintu pagar ketika mereka mahu beredar,” katanya yang memberitahu kejadian itu pertama kali berlaku di kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan bayi diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sumber : Metro

Share.

Leave A Reply