Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki menyimbah cat berwarna hitam dan merah ke arah papan tanda restoran Crackhouse Comedy Club yang berlaku di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini awal pagi kelmarin.
Difahamkan, tindakan dua individu tersebut menyebabkan cat hitam turut terkena pada bahagian pintu utama sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor telah memberi kenyataan berhubung kejadian ini.
Katanya, polis menerima laporan daripada pekerja serta pemilik kedua-dua premis berkenaan awal pagi kelmarin.
Susulan itu, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) telah mendapati dua lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Waja.
Suspek telah membaling dua plastik berisi cat merah dan hitam ke arah papan tanda Crackhouse Comedy Club sekitar pukul 4.15 hingga 5.09 pagi.
Namun, sebahagian daripada cat hitam yang dibaling ke restoran telah terkena pada pintu utama sebuah bank menyebabkan kerugian kira-kira RM3,000.
Menurut Amihizam, siasatan awal polis mendapati pengadu dalam kes ini tidak mengesyaki sesiapa.
Jelasnya, rakaman CCTV yang diperolehi akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk mendapatkan analisa pakar.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo