Curi Sotong Dan Ikan, Pekerja Kilang Ditangkap | YAN: Seorang pekerja kilang direman selama enam hari bagi membantu siasatan mencuri sotong dan ikan milik seorang peniaga kedai makan di Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak, di sini pada Khamis lalu.
Suspek berusia 25 tahun itu dicekup polis pada 4 Mei lalu di rumahnya di Sungai Limau Luar, di sini setelah mengaku melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya yang melarikan diri sebaik menyedari kegiatan mereka tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, laporan diterima daripada pemilik kedai makan itu setelah menyedari empat kotak berisi ikan dan dua kotak sotong bernilai RM1,000 yang diletakkan di hadapan premisnya hilang.
“Pemilik berumur 37 tahun itu memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Y15 telah mengambil kesemua stok bekalan untuk kegunaan kedai makannya.
“Hasil risikan polis berjaya menahan suspek dan dia mengaku telah mencuri stok itu sebelum menjualnya kepada seorang peniaga wanita dengan harga RM150,” katanya.
Kata Shahnaz, pihaknya merampas semula sotong dalam anggaran berat tiga kilogram daripada peniaga wanita terbabit.
“Suspek direman selama tiga hari setelah ditangkap sebelum disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Kita sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dimajukan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses undang-undang seterusnya dan dalam masa sama sedang menjejaki rakan subahatnya yang telah menghilangkan diri,” katanya.
SUMBER: UM
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Pengawal Keselamatan Ditetak Penceroboh Pejabat Imigresen Tenom
Pengawal Keselamatan Ditetak Penceroboh Pejabat Imigresen Tenom | Tenom: Pengawal keselamatan cedera di tangan kiri selepas ditetak dengan senjata tajam oleh dua individu yang memecah masuk Pejabat Imigresen Tenom di sini, semalam.
Dalam kejadian antara 1 hingga 2 pagi itu, pengawal itu yang berusia 30 tahun turut diikat suspek yang dipercayai memecah masuk menerusi pintu belakang pejabat dengan memotong gril.
Suspek kemudian beredar dengan memanjat pagar belakang dan menaiki kereta jenis sedan warna merah yang sudah menunggu di halaman belakang pejabat.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pengawal keselamatan itu sudah membuat laporan pada 12.41 tengah hari semalam.
Katanya, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu tiba di pejabat Imigresen Tenom pada 10.30 pagi tadi untuk membuat pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan awal mendapati peralatan pejabat dan perkakasan masih berfungsi dan tidak berlaku kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya melaporkan ke pejabat polis berdekatan, malah dinasihat tidak membuat spekulasi dan menyebar perkara yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sumber: Inforoadblock