Daging Ditawar Dengan Harga Murah Habis Dalam Tempoh Dua Jam | Sempena Aidilfitri yang bakal kunjung tiba beberapa hari sahaja lagi, semestinya ramai umat islam yang keluar untuk mendapatkan bahan mentah bagi menyediakan juadah pada Aidilfitri ini. Namun sesuatu yang ditawarkan dengan harga yang murah semestinya akan menjadi pilihan orang ramai.
Sebuah program My Best Buy Aidilfitri yang diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang telah menawarkan daging lembu dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran. Semestinya daging itu menjadi rebutan para pengunjung di program itu.
Sebanyak 300kg daging lembu yang disediakan dengan harga yang murah di program itu telah habis dalam masa dua jam sahaja. Orang ramai mula beratur dari jam 7.30 pagi biarpun gerai jualan itu dibuka pada jam 8 pagi. Ini kerana pengunjung tidak ingin melepaskan peluang untuk mendapatkan daging dengan harga yang murah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, harga rendah menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang membeli daging lembu berkenaan. Daging batang pinang dijual pada harga RM34 sekilogram berbanding harga asal RM38 atau RM40 sekilogram.
Selain daripada daging lembu, ayam turut dijual dengan harga yang lebih rendah. Pengunjung boleh mendapatkan ayam hanya dengan harga RM7.90 manakala ayam telur RM9.50 dan ayam kampung RM20 seekor. Turut dijual pelbagai barangan kering serta aneka kuih raya menerusi gerai jualan membabitkan 11 usahawan sekitar Kuala Klawang.
Sumber: Harian Metro