Dahulu Petah Berbicara, Kini Hilang Suara Akibat Ketumbuhan | Pita suara atau lebih dikenali peti suara merupakan struktur penting yang berfungsi mengawal kualiti suara dan merupakan pintu kawalan saluran pernafasan yang sering terdedah kepada masalah perubatan. Namun, ramai yang tidak mengetahui pita suara boleh terlibat dengan kanser.
Machang: Bagaikan mimpi ngeri bagi seorang gadis apabila dia yang dahulunya petah bercakap, kini hilang suara apabila ketumbuhan dikesan di dalam peti suaranya sejak tujuh tahun lalu.
Ibunya, Zahana Zakaria, 46, berkata anak kedua daripada empat beradik, Sherry Balqis Solehuddin, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2, mengalami masalah itu ketika berusia 10 tahun, sekali gus menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja.
Menceritakan keadaan anaknya itu, Zahana berkata, pada awalnya Sherry Balqis hanya mengalami sesak nafas sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu berikutan pada ketika itu mereka sekeluarga menetap di sana.
Katanya, walau bagaimanapun hasil pemeriksaan doktor telah mendapati terdapat ketumbuhan di dalam peti suara anaknya.
“Walaupun luarannya keadaan Sherry Balqis kelihatan normal, anak saya sebenarnya menderita kerana mengalami masalah peti suara yang menyukarkannya berkomunikasi. Jika dia memaksa dirinya untuk mengeluarkan suara dan bercakap, tekaknya akan terasa pedih dan sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Judah, di sini, semalam.
Menurut ibunya, susulan daripada penyakit itu, anaknya itu perlu mendapatkan rawatan sama ada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) atau Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai setiap sebulan atau dua bulan sekali bagi memeriksa tahap ketumbuhan di dalam peti suaranya.
Ibunya berkata, sejak usia 10 tahun sehingga ke hari ini, anaknya sudah menjalani lima kali pembedahan laser bagi membuang ketumbuhan di dalam peti suaranya kerana sekiranya dibiarkan, ia akan menyebabkan Sherry Balqis mengalami kesukaran untuk bernafas berikutan saluran pernafasannya tertutup selain tidak boleh mengeluarkan suara.
“Walaupun selepas anak saya sudah beberapa kali menjalani pembedahan, keadaannya tidak banyak berubah dan perlu mendapatkan rawatan susulan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius, sekali gus membahayakan nyawanya.
“Pada masa sama, sebelum pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anak saya sudah jarang ke sekolah disebabkan penyakit yang dihidapinya,” katanya.
Dalam pada itu, Zahana berkata, sejak berpisah dengan bekas suaminya pada lima tahun lalu, dia kini menggalas tanggungjawab bagi menjaga empat anaknya yang berusia antara 10 hingga 18 tahun, selain ibunya, Rahmah Salleh, 76, yang sudah tua.
“Bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga, saya bekerja sebagai promoter di sebuah pasaraya di Machang dengan pendapatan RM1,200 sebulan dan ia hanya cukup makan sahaja,” katanya.
Sumber: Berita Harian