Zara Qairina

Doktor Dedah Keadaan Arwah Adik Zara Ketika Dihantar Di Hospital.

Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit ketika Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE).


 

 

Doktor Dedah Keadaan Arwah Adik Zara Ketika Dihantar Di Hospital. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : KOTA KINABALU: Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit ketika Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Saksi Dr Janefer Voo, 32, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan. Berkata pada 16 Julai, jam 4.38 pagi, beliau menerima Zara Qairina yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Antara kecederaan dialami mangsa termasuklah bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala. Patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.

Selepas pemeriksaan, “Trauma Alert” diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.42 pagi, 16 Julai, bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

“Berdasarkan penilaian saya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius. Kecederaan di bahagian belakang kepala, patah pada kedua-dua pergelangan kaki serta pergelangan tangan kiri, selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.

“Disebabkan tekanan darah pesakit yang terlalu rendah. Beliau disyaki mengalami kecederaan dalaman akibat trauma ‘impak tinggi’ pada badan yang menyebabkan pendarahan dalaman.

“Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Mahkamah Koroner di sini.

Pegawai penyelaras, Datuk Badiuszaman Ahmad, kemudian meminta Dr Voo menandatangani kenyataan saksinya.

Dr Voo berkata, selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.

Dr Voo adalah pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditempatkan di HQE.

Share.
Leave A Reply