INKUES ZARA: SAKSI KEDUA BERKENAAN “TULISAN TANGAN” ZARA QAIRINA
Sebahagian tulisan tangan dipercayai bukan ditulis arwah
Inkues Zara. Tulisan Nota Zara. Ini Pendedahan Saksi Kedua. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : KOTA KINABALU – Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh dalam keterangannya di Mahkamah Koroner di sini. Menyatakan hasil pemeriksaan pada sebuah buku mendapati sebahagian tulisan tangan yang dikemukakan dipercayai bukan ditulis oleh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Saksi kedua prosiding itu berkata. Pemeriksaan dibuat terhadap barang kes yang ditanda melibatkan helaian kertas serta buku tulisan tangan sebelum perbandingan dijalankan.
KETERANGAN SAKSI KEDUA
“Setelah perbandingan dilakukan. Saya mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada helaian ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat ia ditulis oleh penulis contoh,” katanya.
Beliau menjelaskan, penemuan sama turut diperoleh pada helaian bertanda ‘Y8’. Selain dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’ yang didapati sepadan dengan tulisan tangan contoh.
Menurut Nurul Atiqah, penilaian lanjut pada buku tulisan tangan bertanda ‘W3’ menunjukkan hasil tulisan Zara Qairina dan individu lain.
“Bagi muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103, tulisan tangan dipertikaikan itu juga menunjukkan persamaan signifikan dengan penulis contoh.
Baca Juga :
Peguam Soal Bagaimana Ubat Antisawan Boleh Ada Dalam Tubuh Zara Qairina.
BUKAN TULISAN ZARA
“Namun, bagi muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89. Ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh,” jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, setelah selesai dianalisis, kesemua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.
Nurul Atiqah, 44, yang berkhidmat di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya. Setakat ini telah menganalisis kira-kira 670 kes pemeriksaan dokumen dan daripada jumlah itu, kira-kira 120 kes adalah tulisan tangan.
MASUK MINGGU KEDUA
Inkues bagi menentukan punca kematian Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan bersambung untuk minggu kedua di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Inkues untuk minggu kedua akan berlangsung dari 8 hingga 12 September.
Prosiding selama 19 hari yang dijadualkan berlangsung hingga 30 September akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.
Bagi minggu kedua, tumpuan terarah kepada keterangan daripada ahli kimia bagi mengesahkan beberapa dokumen termasuk diari Allahyarham Zara Qairina.
LAWATAN LOKASI KEJADIAN
Terdahulu Peguam Joan Goh memaklumkan. Prosiding pada minggu kedua ini juga akan disusuli dengan sesi locus in quo, iaitu lawatan ke lokasi kejadian bagi membantu mahkamah memahami keadaan sebenar insiden.
Menurutnya, perkembangan ini penting kerana ia dijangka dapat memperjelas keadaan sebelum dan selepas kejadian yang meragut nyawa Zara Qairina.
Sebanyak 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues berlangsung.
Minggu lalu, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu memberi keterangan selaku saksi pertama.
Prosiding akan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas. Remaja berkenaan sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC). Mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan. Kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Sumber : SH




