Dua Kilang Dikompaun RM10,000 Kerana Gagal Patuhi SOP | Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) semasa penularan wabak pandemik Covid-19 sangatlah penting. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 antara satu sama lain. Namun, masih terdapat banyak pihak yang mengambil ringan dan mengabai Sop yang telah ditetapkan.
Sungai Petani: Dua kilang masing-masing dikompaun sebanyak RM10,000 dalam pemeriksaan mengejut semalam berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Kedua-dua kilang itu didapati telah gagal memastikan pekerja mematuhi penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam operasi yang bermula 8 pagi hingga 7 malam itu, polis melakukan pemeriksaan di 35 kilang untuk pemeriksaan aspek pematuhan SOP perkilangan di daerah ini.
Beliau berkata, pemeriksaan itu membabitkan kilang yang berada di sekitar daerah Kuala Muda iaitu di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Taman Ria Jaya (PKNK), Gurun serta Bedong.
Pemantauan terbabit melibatkan 35 pegawai dan anggota daripada pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
Menurutnya, sebanyak 35 buah kilang yang diperiksa dari aspek pematuhan SOP PKP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).
Hasilnya, dua kilang iaitu kilang kitar semula dan pemakanan di Bedong telah dikompaun sebanyak RM10,000 kepada pemilik pengurus kilang kerana kesalahan gagal mematuhi SOP penjarakan sosial di kawasan persekitaran kilang terbabit.
Hadir sama, Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalannya Datuk Mohd Roze Shaari.
Jelas Adzli, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) No 4 2021.
Beliau berkata, sepanjang pemeriksaan sejak 1 Jun lalu, pihaknya mendapati ada kilang yang dikesan menjalankan operasi walaupun bukan ia bukan barangan keperluan yang dibenarkan.
“Ada yang beroperasi di bahagian hadapan dengan barangan keperluan manakala di bahagian belakang pula menjalankan operasi bukan keperluan.
“Kita dah arahkan kilang terbabit memberhentikan operasi serta-merta berikutan keadaan sekarang yang kritikal ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, setakat ini sebanyak 280 pasukan ditubuhkan untuk melakukan pemantauan di kilang bagi memastikan mereka mematuhi arahan yang ditetapkan.
Sumber: Metro