Berhampiran kawasan petempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR), dua pemancing cemas terserempak seekor gajah betina liar mandi dan minum di Sungai Ketil, Gua Musang, di sini.
Fahamie Qhodrad Sibaweh, 30, bersama adik iparnya, Wan Mohd Haikal Wan Mohd Zulkifli, 18, ke sungai terbabit untuk memancing sebelum mengesan hidupan liar itu, kira-kira jam 6 petang semalam.
Fahamie berkata, dia sempat merakam aksi gajah betina terbabit sedang mandi selama 25 saat.
Ini bukan kali pertama saya melihat gajah liar, tapi tetap terkejut kerana dia muncul di kawasan petempatan ramai penduduk, malah sungai ini jadi tumpuan kanak-kanak mandi-manda. Jadi, berbahaya kepada penduduk berhampiran yang tidak sedar kehadiran haiwan liar ini.
Beliau berkata, hampir satu jam gajah betina terbabit berada di sungai dan sempat dilihat hampir 50 penduduk PPR.
Wan Mohd Haikal pula berkata, jarak haiwan liar itu kira-kira 50 meter dari tempat dia memancing.
Gajah itu ada depan saya, tiba-tiba muncul tanpa disedari, memang mendebarkan kerana ia haiwan liar dan berkeliaran di kawasan petempatan. Ini kali pertama haiwan liar itu ditemui di sekitar Sungai Ketil berhampiran PPR ini.
Pada mulanya saya nampak gajah itu ingin menuju ke hutan berhampiran landasan kereta api, namun berpatah balik ke sungai berhampiran PPR apabila melihat ramai orang di atas jambatan PPR.
Video kehadiran gajah berkenaan yang dirakam seorang pemancing tular di media sosial memaparkan aksi hidupan liar itu mandi dan minum air sungai sebelum menyeberang dan menghilangkan diri ke dalam hutan berhampiran.
Sumber : Berita Harian