Gara-Gara Raih ‘Views’ TikTok, Sekumpulan Remaja Ditahan | KLUANG: Gara-gara membuat rakaman TikTok dengan melakukan aksi menuang cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di sebuah pusat membeli-belah di sini, kumpulan remaja bermotosikal ditahan untuk siasatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata perbuatan kumpulan remaja bermotosikal itu mengundang padah selepas pihak pengurusan pusat beli-belah mengesan perbuatan mereka menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau berkata, susulan laporan, lapan remaja lelaki termasuk tiga pelajar berusia 16 hingga 19 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
“Kira-kira jam 4 petang semalam, polis mengesan rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook (FB) memaparkan tingkah laku penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta di pusat beli-belah itu.
“Kejadian itu dipercayai berlaku pada Ahad lalu kira-kira 5.30 pagi. Polis mengenalpasti semua suspek dan mereka ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang di sini kira-kira 9.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta.
“Polis mengingatkan perbuatan vandalisme atau membinasakan harta benda awam dan harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang-undang.
“Mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya.
SUMBER : Berita Harian