Suasana di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), di sini gempar semalam apabila seekor ular sawa sepanjang kira-kira 2.5 meter dijumpai bersembunyi dalam bahagian enjin sebuah kereta yang mahu diperiksa di situ.

Gempar! Jumpa Ular Sawa Dalam Enjin Kereta

Ular seberat hampir 70 kilogram (kg) itu ditemui melengkar di bahagian enjin kereta itu ketika pemiliknya membuka bonet sebelum keadaan menjadi kecoh kerana orang ramai terkejut.

Seorang ejen pemeriksaan kenderaan, Yuzaini Mohd Yusof, 48, berkata ular itu ditemui dalam enjin sebuah Proton Wira yang mahu diperiksa di situ kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, beliau ketika itu berada di bahagian lain bagi menjalankan pemeriksaan sebuah lori yang dibawanya sebelum terdengar bunyi kecoh orang ramai di bahagian pemeriksaan kereta.

Jelasnya, beliau dapat mengagak bahawa ada berkaitan dengan penemuan ular ketika pemeriksaan kenderaan kerana sepanjang 10 tahun menjadi ejen, sudah kerap berlaku kejadian itu di sini.

Tambahnya lagi, semua yang ada di situ, tidak berani untuk mendekati kereta Proton Wira itu apalagi untuk cuba mengeluarkannya dan berbekalkan sedikit keberanian serta pengalaman, saya cuba menarik reptilia itu keluar.

Yuzaini berkata, proses mengeluarkan ular sawa itu bukan mudah kerana ia enggan keluar dan bertindak balas agresif termasuk cuba mengeluarkan kepala dan cuba menggigit tangannya.

Katanya apabila usaha menarik keluar ular sawa itu gagal, dia cuba menolak haiwan itu dengan kayu agar ia keluar menerusi bawah kereta dan cubaan itu berjaya.

Ujarnya, selepas 20 minit, ular sawa itu berjaya dikeluarkan dan dengan bantuan kakitangan PUSPAKOM, haiwan itu dialihkan ke tempat lain.

Ular itu dilepaskan semula ke hutan oleh orang ramai.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply