“Jauh disudut hati, saya mahu terus bertugas dan berbakti kepada anak didik tetapi diduga dengan kesihatan yang kurang baik sejak tahun lalu”.
Itulah luahan Cikgu Shoibih Ransab, 56, ketika ditemui sempena penyampaian sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) baru-baru ini.
Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, beliau berterima kasih dengan pihak YGMB atas sumbangan yang diberikan sekali gus mampu meringankan beban dirinya sekeluarga.
Beliau berkhidmat sebagai guru sekitar 20 tahun lalu. Kehidupan seharian cikgu Shoibih berubah sejak diserang angin ahmar atau strok yang dihadapinya sejak penghujung tahun lalu.
Beliau sebelum ini merupakan seorang guru mata pelajaran Sains, Sejarah dan Matematik di Sekolah Kebaangsaan (SK) Taburan, Kota Belud. Kini, beliau hanya berehat di rumah selain terpaksa menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan.
Anak keempat, Angyline Evaglorya Shoibih, 23, berkata, bapanya tidak mempunyai masalah pertuturan seperti pesakit angina ahmar yang lain. Walau bagaimanapun, pergerakannya agak terbatas, membuatkan ia susah untuk bergerak ke mana-mana.
“Adakalanya bapa seringkali lupa dengan perkara yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Oleh itu, beliau agak lambat memberi respon kepada pertanyaan individu yang bertanyakan soalan kepadanya.
“Walaupun bapa boleh berjalan dengan perlahan namun kami lebih kerap menggunakan kerusi roda disebabkan beliau tidak mampu berjalan terlalu lama.
“Kini rutin banyak banyak menghabiskan masa berehat di rumah dan berjumpa doktor sebulan sekali untuk rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat memaklumkan pihaknya terus komited menyalurkan bantu ‘one off’ kepada guru yang memerlukan menerusi Program Ziarah Kasih yang sudah memasuki penganjuran kali kelima tahun ini.
“Sabah adalah negeri yang kita pilih bagi mengadakan Program Ziarah Kasih sempena penganjuran kali tahun kelima ini.
“Kita berharap dapat membantu guru-guru sakit atau mengalami masalah kesihatan di Sabah supaya semua berkeperluan mendapat manfaat dari YGMB,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Munadi juga menggesa lebih ramai guru-guru Sabah agar mendaftar sebagai ahli YGMB supaya turut sama memperoleh kelebihan yang diiberikan.
Sumber: Kosmo