Kehilangan ahli keluarga adalah satu kenyataan yang memeritkan bagi setiap insan yang bergelar manusia.
Namun, kenyataan itu tetap perlu ‘ditelan’ dan reda dengan apa yang telah tertulis.
Ia hakikat kehidupan yang tiada sesiapa pun mampu tepis.
Namun, kata orang, ibu bapa yang kehilangan anak merupakan satu perasaan yang lebih memeritkan.
Manakan tidak, sudah pasti harapan ibu dan ayah di dunia ini ingin melihat anak-anak mereka tumbuh dewasa dan menjadi insan yang berguna.
Melihat buah hati mereka pergi sebelum mereka sememang meninggalkan kesan yang amat mendalam buat mereka yang bergelar ibu bapa.
Lebih-lebih lagi jika mereka tidak sempat melihat raut wajah cinta hati mereka buat kali yang terakhir.
Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang individu mengenai kakaknya yang kehilangan anak dalam sebuah kemalangan jalan raya ketika berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut video yang dikongsikan oleh pengguna Tiktok @ellellell7, kepulangan kakaknya, Hajjah Norzaini Binti Haji Akasah dari menunaikan Haji dari Tanah Suci diiringi dengan air mata yang bercucuran.
Malah, Hajjah Norzaini perlu menerima kenyataan bahawa kali ini hanya empat orang sahaja anaknya yang datang menyambut.
Sebelum ini, Hajjah Norzaini dihantar untuk ‘terbang’ ke Tanah Suci lengkap bersama-sama lima orang anaknya termasuk Muhammad Azizul.
Muhammad Azizul dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya setelah dua hari ibunya berada di Makkah.
Dua hari sebelum kejadian, arwah Azizul sempat melaungkan Azan sebelum menghantar ibunya ke lapangan terbang.
Kini, setelah hampir sebulan di Tanah Suci dan lengkap melaksanakan semua perkara haji, si ibu pulang kembali ke tanah air untuk menemui anak-anak yang dikasihi.
Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan si ibu, hanya air mata di wajah menjadi saksi.
Semoga keluarga ini tabah dengan ujian yang mendatang dan takziah juga diucapkan kepada mereka sekeluarga.
Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Sumber: Siakap Keli