Ikan ‘Gergasi Sungai’ Berukuran Seorang Lelaki Dewasa Ditemui Di Detroit | Jabatan Perikatan dan Hidupan Liar AS dilaporkan telah menemui seekor ikan sturgeon dipercayai berusia 100 tahun di Sungai Detroit, Michigan selepas mereka dikatakan sedang melakukan penyelidikan bagi mengambil data tentang ikan di sungai terbabit, baru-baru ini.
Ikan yang diberi gelaran ‘raksasa sungai sebenar’ itu dikatakan mempunyai ukuran sekitar 7 kaki (2.1 meter) dan seberat 108.8 kilogram ini dikatakan adalah seekor betina yang sudah hidup hampir 100 tahun berdasarkan penglihatan para pengkaji terhadap lebar dan saiz tubuh ikan tersebut.
Tambah mereka lagi, setelah secara tidak sengaja menangkap ikan gergasi tersebut, mereka dilaporkan telah bertindak melepaskannya semula selepas ia selesai ditimbang dan diukur bagi tujuan penyelidikan.
Mengikut penyelidikan yang dilakukan Jabatan Sumber Alam Michigan, jangka hayat bagi ikan gergasi tersebut dikatakan adalah sekitar 55 tahun bagi sturgeon jenis jantan manakala 70 hingga 100 tahun bagi ikan betina.
Ikan tersebut telah ditangkap oleh tiga kru pengkaji di Grosse Ile di selatan Detroit semasa mereka sedang melakukan penyelidikan tahunan berkenaan ikan jenis sturgeon. Umpan turut diletakkan iaitu sejenis ikan goby beku yang menjadi ‘makanan’ kegemaran ikan sturgeon.
Setelah ikan tersebut berjaya ditangkap, para pengkaji memberitahu bahawa mereka telah mengambil masa selama enam minit untuk mengangkat ikan tersebut kedalam bot yang dinaiki mereka. Tambah mereka semasa cuba menarik ikan tersebut yang telah memakan umpan tersebut, ia seperti tidak lawan dek kerana letih.
Ikan jenis sturgeon kini telah disenaraikan sebagai spesis terancam di Michigan dan para pemancing yang ingin memancing ikan jenis ini boleh menyimpan seekor setiap tahun namun hanya saiz tertentu serta ditangkap di perairan tertentu sahaja yang dibenarkan.
Sturgeon yang berjaya ditangkap di Sungai Detroit telah diminta untuk dilepaskan semula di sungai tersebut.
Sumber: Astro Awani