Seorang pesohor TikTok di Amerika Syarikat (AS) mengalami detik menakutkan apabila seorang lelaki yang dikenali dalam satu temu janji mengintipnya menggunakan peranti AirPods, lapor akhbar Daily Star semalam.
Cory mendakwa bahawa lelaki yang hanya ditemuinya beberapa kali itu telah meletakkan AirPods ke dalam begnya dan menjejaki lokasinya menggunakan sistem kedudukan global (GPS).
“Saya berasa pelik terhadap lelaki ini dari awal lagi,” demikian kapsyen video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @corrrryyy.
Cory berkata, dia telah bertemu dengan lelaki itu di sebuah gimnasium di Los Angeles.
Selepas menemui AirPod di dalam begnya, Cory berasa pelik apabila lelaki itu tidak menghubunginya untuk mendapatkan barang miliknya kembali.
Cory kemudian menghubungi lelaki itu untuk bertanya mengenai AirPods tersebut, tetapi dia dituduh mencurinya.
Cory kemudian meminta alamat supaya boleh memulangkannya, tetapi lelaki itu bertegas supaya dia terus memegangnya, sambil tidak menghiraukan soalan bagaimana ia boleh berada di dalam beg tersebut.
Cory bahkan curiga apabila lelaki itu tidak mempunyai akaun media sosial.
AirPods boleh dikesan oleh pemiliknya menggunakan aplikasi Find My.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Penduduk Kampung Takut Lihat Jambatan Makin Tenggelam
Lebih 200 penduduk di Kampung Batu 6, di sini, resah apabila kerap terputus hubungan berikutan jambatan sementara yang dibina sering tenggelam jika hujan lebat.
Jambatan itu turut menghubungkan Kampung Batu 6 ke Kampung Batu 5 dan menjadi laluan utama penduduk untuk ke Bandar Gua Musang.
Penduduk, Suzili Sulaiman, 46, berkata, sejak bulan lalu, jambatan sementara yang dibina setinggi dua meter dari sungai terbabit kerap tenggelam kerana hujan lebat.
“Selepas air surut, kami akan bergotong-royong membersihkan jambatan terbabit kerana berlumpur selepas dinaiki air dan membahayakan pengguna laluan itu.
“Keadaan ini merisaukan kami kerana memberi kesan kepada pembelajaran anak-anak, di sini, terutama yang akan menduduki peperiksaan tahun ini. Sekolah paling dekat dengan kami sejauh 30 kilometer (km) di Bandar Gua Musang,” katanya.
Pendudul lain, Rozi Ismail, 68, berkata mereka pernah dijanjikan pembinaan jambatan kekal pada Mei lalu, namun sehingga kini masih belum ada.
“Sampai bila kami ingin hidup dalam keadaan begini hanya menggunakan jambatan sementara. Tambahan pula kini sudah memasuki musim tengkujuh.
“Saya harap pihak berkenaan dapat mempercepatkan pembinaan jambatan kekal seperti yang dijanjikan. Ini untuk memudahkan kami melakukan urusan di Bandar Gua Musang dan menghantar anak ke sekolah.
“Sebelum menggunakan jambatan sementara ini, terdapat jambatan konkrit yang lebih tinggi, namun ia rosak apabila banjir besar. Jadi kami harap jambatan baru yang akan dibina lebih kukuh daripada sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau sedia maklum masalah yang dihadapi oleh penduduk. Dia meminta mereka bersabar kerana jambatan yang dijanjikan akan dilaksanakan.
“Jambatan yang akan dibina adalah jambatan konkrit yang sama tinggi dengan laluan kereta api,” katanya.
Sumber: KMN