Ini Keadaan Terkini Mangsa Buli Di Johor. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : JOHOR BAHRU, 19 Ogos – Mangsa buli yang kisahnya tular baru-baru ini, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10. Kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata. Doktor yang merawat memaklumkan keadaan murid Tahun Empat itu tidak serius. Namun masih dalam pemantauan rapi.
“Alhamdulillah, kesihatan adik Izzul semakin baik. Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah beliau akan dibenarkan pulang ke rumah esok. Semoga beliau segera sembuh dan kembali meneruskan pelajaran dalam keadaan yang lebih baik,”. Katanya menerusi hantaran di Facebook, malam Isnin.
Menurut Aznan, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan sokongan berbentuk kaunseling, bantuan psikologi dan kewangan kepada keluarga mangsa.
Baca Juga : Kes Adik Zara. Menteri DEDAH Hasil Siasatan Polis Babit 195 Saksi.
Beliau menegaskan, kes buli berkenaan masih dalam siasatan polis dan kerajaan negeri akan memastikan pemantauan berterusan dilakukan sehingga selesai.
“Buli tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan. Usaha berterusan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan masa depan anak-anak Johor sentiasa terpelihara,” ujarnya.
PERNAH JADI MANGSA BULI SEBELUM INI
Terdahulu, ibu kepada mangsa, Siti Suhana Misdi, 39. Meluahkan rasa kecewa apabila anak lelakinya yang juga pesakit kanser hidung, pernah menjadi mangsa buli serius pada 21 Februari lalu di sebuah sekolah agama.
Dalam kejadian itu, Izzul mendakwa dipukul, ditendang, dihentak kepala di kiri dan kanan. Serta dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang murid Tahun Enam. Akibatnya, beliau mengalami gegaran otak sehingga terpaksa dirawat di hospital swasta dari 12 hingga 26 Mac lalu.
Lebih mengejutkan, insiden sama berulang lagi pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai apabila seorang murid lain memukul kepala Izzul sehingga sekali lagi terpaksa dimasukkan ke hospital.
“Anak saya sering dijadikan sasaran kerana dianggap lemah akibat penyakitnya, sedangkan dia sudah pulih 80 peratus selepas rawatan kanser sejak dua tahun lalu,” kata ibunya.
Beliau berharap tindakan tegas dapat diambil agar murid lain tidak menjadi mangsa seterusnya.
PIHAK BERKUASA AMBIL MAKLUM
Aznan berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah mengambil maklum aduan keluarga mangsa dan melakukan lawatan ke rumah mereka bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.
“Kerajaan negeri akan memastikan segala bentuk bantuan serta tindakan susulan dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak polis.



