Selepas Mahkamah Jatuhkan Hukuman. Ini Luahan Bapa Arwah Zulfarhan. | KUALA LUMPUR – “Saya sudah maafkan mereka”. Itu luahan ayah pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Zulkarnain Idros, 57, berkata, meskipun berat untuk dia memaafkan dan sukar melupakan apa yang telah berlaku, beliau menghormati namun segala keputusan yang telah ditetapkan pihak mahkamah.
“Saya maafkan kesemua mereka…,” katanya ketika ditemui lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas keputusan kes itu di sini sebentar tadi.
Bagaimanapun menurut Zulkarnain apa yang membuatkan beliau terkilan tertuduh dan keluarga tidak datang berjumpanya ataupun untuk meminta maaf.
“Keluarga tertuduh mahupun tertuduh langsung tidak datang berjumpa saya dan isteri untuk meminta maaf kepada kami. Seolah-olah seperti anak saya pula yang bersalah,” ujarnya.
Tambahnya, beliau berterima kasih kepada pihak mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada semua tertuduh.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, apa yang penting, beliau berharap orang ramai mengambil iktibar terhadap kes yang terjadi kerana impaknya amat besar.
“Saya pesan kepada masyarakat supaya, jauhi sifat membuli, kerana ia akan memberi kesan kepada keluarga. Saya kehilangan anak sulung saya, anak-anak kehilangan abang sulung, serta idola mereka, sememangnya perkara seperti akan memberi kesan kepada saya dan keluarga seumur hidup kami,” katanya lagi.
Sumber : Kosmo