Ini Reaksi DS Zahid Hamidi Selepas DUN Melaka Dibubarkan.| PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengubah pendiriannya sehari selepas menggesa pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Melaka, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak lagi menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.
Hari ini beliau berkata, penjagaan kesihatan dan mendepani pandemik harus diutamakan jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan amat bahaya untuk mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari akan datang.
Katanya, Melaka mungkin boleh mengikut jejak Sarawak dengan mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan PRN diadakan dan krisis kesihatan berlaku.
“Panduan sebagaimana yang berlaku di Sarawak mungkin boleh diikuti. Untuk itu saya percaya penjagaan kesihatan dan mendepani pandemik harus diberikan keutamaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Zahid berkata, Sulaiman boleh mengetuai kerajaan negeri “caretaker” sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan berhubung PRN.
Katanya, tiga ADUN Umno yang menyebabkan kerajaan Melaka tumbang dipecat serta-merta.
Terdahulu, Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka dan kerajaan negeri sedia ada menjadi “caretaker” sehingga PRN diadakan.
SUmber : FMT