Isu Hina Islam. Prosiding Babit ‘Raja Bomoh’ Ditangguh Dua Bulan | Khalifah Media Networks – Prosiding kes melibatkan Ibrahim Mat Zin, juga digelar ‘Raja Bomoh’, yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam, di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini ditangguhkan dua bulan lagi.

Hakim Syarie Azman Saad membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak untuk melengkapkan siasatan. Berikutan sebelum mengemukakan kertas pertuduhan.

Menurutnya, penangguhan tersebut dilakukan beliau supaya tidak memanjangkan tempoh siasatan. Justeru penangguhan dibenarkan untuk dua bulan dan ini adalah tempoh penangguhan yang terakhir.

Tambahnya, dilepaskan tidak bermaksud tidak didakwa, akan tetapi mengikut prosiding mahkamah, ini adalah tangguhan terakhir. Tidak boleh lama-lama.

Azman menetapkan kes Ibrahim, 71 tahun, bersama sepupu, Suliaha Abdul Hamid, 62 tahun, yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’, akan disebut semula pada 25 April ini.

Selain itu, beliau membenarkan permohonan Suliaha untuk menukarkan penjamin ekoran penjamin sebelum ini dijangkiti COVID-19 selain sukar hadir ke mahkamah.

Pada 7 Januari, Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 bersama seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Kedua-dua individu itu disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari lepas.

Siasatan ke atas mereka itu dibuat susulan satu ritual didakwa menolak musibah banjir. Berikutan hal yang dilakukan mereka di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Intan.

Rakaman video ritual tersebut kemudian tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi awam.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply