Kerajaan perlu mengawal selia kenaikan harga barangan bagi mengimbangi risiko inflasi.

Isu Kenaikan Harga Barang. Ini 'Nasihat' Pakar Kepada Kerajaan

Pengarah Perhubungan Luar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia, Dr Zokhri Idris, berkata keperluan mengawal selia daripada kerajaan dan pihak autoriti bertujuan mengimbangi kenaikan harga barangan bagi mengelak inflasi hiper atau inflasi tinggi.

Katanya, pengawalseliaan diperlukan supaya kenaikan harga barangan tidak begitu mendadak dan tinggi sehingga negara tidak mampu mengimbangi kadar inflasi berkenaan.

Ujar beliau, apa yang boleh pihak autoriti lakukan, sebagai contoh, mengawal selia subsidi minyak kerana kita tahu minyak dan kos bahan mentah seperti bahan api adalah kos sangat penting yang diserapkan dalam kos keseluruhan sesuatu produk.

Beliau berkata, kita perlu lihat bagaimana usaha kita lakukan ini berjaya mengurangkan risiko inflasi supaya tidak semakin membimbangkan dan sehingga tidak dapat diselamatkan lagi.

Beliau berpendapat, kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil langkah proaktif memantau kenaikan ini supaya tidak disalah guna atau dimanipulasi mana-mana pihak.

Menurutnya, kita kena lihat dan jejak semula daripada titik awal sehingga sampai ke tangan pengguna bagaimana kita boleh meminimumkan kos sesuatu produk.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, intervensi jangka pendek oleh kerajaan dan pihak berwajib dalam pasaran barangan makanan tidak seharusnya berlaku bagi mengelak gangguan di pasaran.

Susulan itu, katanya, intervensi jangka panjang diperlukan bagi memastikan isu manipulasi pihak tertentu dalam penetapan harga barangan dapat diselesaikan.

Ulasnya, kerajaan juga perlu ada kaedah melindungi golongan berpendapatan rendah, misalnya mewujudkan semula kedai rakyat yang menawarkan harga mampu milik bagi golongan terbabit bagi membolehkan mereka mempunyai pilihan untuk membeli.

Katanya, ini sekali gus melegakan rakyat terutama golongan terjejas dengan kenaikan harga barangan.

Share.

Leave A Reply