Isu Marshal Konvoi Di PD. 3 Individu Lagi Serah Diri Pada Polis | Baru-baru ini, sempat tular sebuah video menunjukkan aksi individu dipercayai marshal kumpulan konvoi motorsikal berkuasa tinggi yang bertindak memberhentikan kenderaan di sebuah persimpangan lampu isyarat.
Susulan video tular tersebut, Ketua Polis daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed dalam satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan, tiga lelaki warga tempatan telah hadir untuk serah diri Balai Trafik IPD Port Dickson sekitar jam 2.40 petang semalam.
Tiga lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori dan berusia antara 27 hingga 48 tahun kini ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut. Turut dirampas adalah motorsikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki GTR 1400CC, Harley Davidson dan Yamaha Tracer 900 GT, sehelai vest hijau serta beberapa item yang digunakan oleh ketiga-tiga lelaki berkenaan semasa rakaman tersebut dibuat.
Sebelumnya, dua orang lelaki berusia 26 dan 27 tahun yang terlibat dalam insiden tersebut dilaporkan telah ditahan pihak polis tengah malam tadi di jalan kawasan Port Dickson dan Springhill Lukut.