Isu Paku Bungkus Makanan, Peniaga Boleh Dipenjara Dan Denda Tidak Lebih 10k | Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan dengan isu penggunaan paku bagi membungkus makanan adalah sangat membahayakan kepada orang ramai.

Isu Paku Bungkus Makanan, Peniaga Boleh Dipenjara Dan Denda Tidak Lebih 10k

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam kenyataan akhbar yang dikongsikan, penularan isu ini telah membimbangkan pelbagai pihak terhadap keselamatan pengguna.

Mengikut di bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan sehingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut.

Selain itu, pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna mengikut Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Berdasarkan pemerhatian KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) tahun 2019 sehingga 2021, dilaporkan sebanyak 19 (3.5%) dari 546 sampel makanan yang dianalisis didapati telah tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing.

Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya. Sebanyak 45,361 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara pada tahun 2021 dan 697 remis makanan telah ditutup.

Para peniaga makanan dinasihatkan agar tidak menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya pada pembungkusan makanan kerana akan menyebabkan kecederaan serius kepada pengguna.

Ibu bapa juga hendaklah memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.

Peniaga makanan yang menggunakan bahan-bahan berikut boleh didakwa di mahkamah jika disabitkan kesalahan dan akan dikenakan denda tidak melebihi RM10, 000 atau hukuman penjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya. Hukuman yang lebih berat akan dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.

Para pengguna boleh membuat aduan dengan menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq sekiranya menjumpai bahan-bahan yang dinyatakan atau isu yang berkaitan keselamatan makanan.

Sumber : SK

Share.

Leave A Reply