Kualiti jalan raya di Malaysia menurun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah kematian jalan raya direkod kedua tertinggi dunia, 22.76 bagi setiap 100,000 orang.
Selain Malaysia, Kuwait disenarai negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.
Menurut laporan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads – US and International Ranking’ yang dijalankan firma pendidikan pemandu, Zutobi – Malaysia disenarai pada kedudukan ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk.
Menurut kaji selidik itu, selain memiliki jalan terburuk Kuwait juga mempunyai jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19.
Kajian menganalisis keseluruhan 59 negara itu memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.
Data sama menyenaraikan Singapura sebagai negara yang merekodkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10.
Singapura juga dilapor merekodkan kadar kematian jalan raya paling sedikit iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.
Selain Singapura, empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya paling tinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).
Sumber: Berita Harian