Jalan Tapah, Cameron Highlands Ditutup Kepada Pengguna Jalan Raya | Jalan Tapah ke Cameron Highlands dilaporkan ditutup sepenuhnya bermula hari ini bagi kerja-kerja pembersihan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, keputusan penutupan jalan itu dibuat oleh pihak polis dan Jabatan Kerja Raya kerana dikhuatiri membahayakan pengguna jalan raya.
Tambah Wan Azharuddin, semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan, masih terdapat runtuhan baharu sehingga menyekat laluan pengguna jalan raya.
Hasil perbincangan mereka mendapati, jalan Tapah ke Cameron Highlands perlu ditutup sepenuhnya bermula hari ini bagi menyelesaikan kerja pembersihan akibat runtuhan.
Difahamkan papan tanda penutupan jalan telah diletakkan di Batu 4, Jalan Pahang.
Beliau berpesan kepada orang ramai yang ingin ke Cameron Highlands agar menggunakan jalan alternatif lain.
Walau bagaimanapun, dikhabarkan penduduk yang tinggal di sepanjang jalan sehingga ke Batu 20 masih boleh menggunakan jalan berkenaan.
Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya berhati-hati semasa melalui jalan tersebut.
Sebelumnya, media melaporkan hujan lebat yang berlarutan hampir dua jam sejak jam 11 pagi telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di 10 lokasi di dalam daerah Cameron Highlands yang menghalang laluan kenderaan setakat jam 7.40 malam.
Antara lokasi kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang itu adalah, berhampiran Big Red Strawberry, berhampiran Strawberry Park, berhampiran Smoke House Hotel, laluan ke Boh Sungai Palas, Laluan ke Water Crest, laluan ke Rose Valley, Taman MCA Ringlet, Taman Pelangi, Ringlet dan Batu 20, Jalan Tapah, belakang Pasar Tanah Rata.
Sumber: Astro Awani