Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal 1MDB menyelewengkan AS$1.42 bilion daripada urus niaga bon yang diatur oleh Goldman Sachs Group Inc untuk dana negara Malaysia, kata ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang menyiasat dana itu ketika memberi keterangan.

Jho Low Didakwa Seleweng AS$1.42 Bilion Melalui Urus Niaga 1 MDB

Menerusi laporan FMT, Eric Van Dorn merujuk kepada jumlah wang itu daripada kandang saksi pada hari Isnin dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai bank Goldman, Roger Ng.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengaut AS$756 juta daripada jumlah keseluruhan AS$6.5 bilion, kata Van Dorn kepada juri di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York.

Katanya, bekas Pengarah Urusan International Petroleum Investment Co (IPIC) milik kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi yang menjamin urus niaga 1MDB itu menerima AS$472.8 juta.

Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung kes penyelewengan 1MDB, katanya yang memetik laporan Bloomberg.

Van Dorn yang menyiasat bagaimana dia mengesan wang terbabit disalurkan kepada sekurang-kurangnya 16 penerima memberitahu juri bahawa Ng mendapat AS$35.1 juta menerusi dua daripada tiga urus niaga bon, manakala bekas pegawai bank Goldman Tim Leissner yang mengaku bersalah atas penipuan itu dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) menentang Ng, mendapat AS$73.4 juta.

Najib disabitkan kesalahan di Malaysia dan dihukum penjara 12 tahun berhubung SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau membuat rayuan atas sabitan itu.

Jurucakap Najib tidak membalas emel dengan segera untuk mendapatkan komen berhubung keterangan Van Dorn.

Sumber: Harian Metro 

Share.

Leave A Reply