Jururawat Tikam Wanita Kerana Salakan Anjing | Hanya kerana berang anjing menyalak ke arahnya, jururawat lelaki bertindak kejam membunuh seorang wanita Australia di pantai Wangetti, utara Cairns, Queensland, pada 2018.
Itu pendedahan yang diperoleh pegawai penyiasat selepas lelaki berkenaan ditahan polis Delhi, baru-baru ini selepas lebih empat tahun menyembunyikan diri.
Portal India Today melaporkan, penyiasat berkata siasatan mendapati wanita dikenali sebagai Toyah Cordingley yang berumur 24 tahun, sedang berjalan bersama anjingnya di pantai berkenaan.
Rajwinder Singh, 38, yang berasal dari India turut ke pantai itu dengan membawa pisau dan beberapa buah.
Dia meninggalkan rumah selepas bertengkar dengan isterinya.
Bagaimanapun, ketika di pantai anjing Toyah menyalak ke arah Singh menyebabkan dia marah dan berlaku pergaduhan, kata penyiasat.
Berang anjing wanita itu menyalak ke arahnya, Singh didakwa menikam mangsa beberapa kali, menanam mayatnya di dalam pasir dan mengikat anjing itu pada pokok sebelum pulang ke rumah di bandar Innisfail, lapor Indian Express memetik penyiasat.
Singh warganegara Australia itu kemudian meninggalkan negara itu dua hari selepas kejadian.
Namun, Jumaat lalu dia ditahan di Jalan GT Karnal di Delhi Utara selepas lebih empat tahun bersembunyi dan dibawa ke mahkamah untuk proses ekstradisi.
(Ketika bersembunyi) Dia langsung tidak berhubung dengan isteri atau anak-anaknya. Ibu bapanya tinggal di Punjab tetapi kami dapati dia juga tidak berhubung dengan mereka.
Malah, dia kerap menukar tempat persembunyiannya di Punjab dan Delhi. Dia ditangkap ketika sedang transit di Delhi Utara.
Sumber polis berkata kepada Indian Express bahawa dia juga menukar penampilannya untuk mengelak daripada ditangkap. (Ketika ini) Dia sedang disoal siasat dan dibawa ke mahkamah.
Ketika polis Queensland melancarkan pemburuan untuk menangkapnya, Interpol turut mengeluarkan Notis Merah terhadap Singh berikutan waran tidak boleh jamin dikeluarkan oleh Mahkamah Patiala pada 21 November di bawah akta ekstradisi.
Polis Delhi mula mencarinya selepas menerima maklumat daripada agensi.
Menurut sumber polis, tertuduh datang ke India dan mula tinggal di Punjab.
Singh akhirnya ditahan selepas pegawai penyiasat melancarkan gerakan mencari dari pintu ke pintu di kampungnya.
Dia dilihat memakai serban dan berjanggut.
Selepas penahanannya, Pesuruhjaya Polis Queensland Katarina Carroll memberitahu media bahawa Toyah dilaporkan hilang pada Oktober 2018 sebelum mayatnya ditemui secara tragis di Pantai Wangetti, Utara Cairns.
Sumber: Metro Harian
Artikel Lain
Wanita Bunuh Seorang Lelaki Ditemukan Sedih & Panik Di Sisi Mayat.
Wanita Bunuh Seorang Lelaki Ditemukan Sedih & Panik Di Sisi Mayat. | Seremban: Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan luka pada rusuk kanan di sebuah unit apartmen di Taman Bukit Delima, di sini, malam ini, dipercayai akibat pergaduhan dengan seorang wanita.
Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah berkenaan serta terdapat kesan darah di beberapa lokasi di dalam kediaman itu, kira-kira 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah isteri kepada mangsa, namun kesahihannya masih belum dipastikan.
“Kami menerima panggilan daripada pengawal keselamatan di apartmen ini yang memaklumkan terdapat kematian di lokasi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, kami menemui mayat lelaki warga tempatan dalam keadaan terlentang dan kesan darah pada lantai. Terdapat seorang wanita berada di lokasi dalam keadaan panik dan kesedihan,” katanya ketika ditemui di lokasi, malam ini.
Nanda memaklumkan, siasatan lanjut pada mayat dan lokasi kejadian mendapati terdapat kesan luka pada rusuk kanan mangsa selain menemui sebilah pisau pemotong sayur dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian ini.
“Siasatan juga mendapati wanita ini adalah warga Vietnam berusia 33 tahun dan dipercayai masuk ke negara ini pada Jun lalu. Bagaimanapun kami akan membuat semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Daripada maklumat awal yang kami terima daripada orang awam di sekitar lokasi, mereka memaklumkan terdengar pergaduhan antara mangsa dan wanita berkenaan kira-kira 9 malam.
“Pihak kami akan menahan wanita terbabit bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, polis masih mengesan saksi lain bagi membantu siasatan kejadian ini dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Sumber : HM