Kerajaan mungkin akan menyemak semula cukai ‘dosa‘ dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula pada 24 Februari depan bagi mencari sumber kewangan tambahan berikutan tekanan daripada kenaikan perbelanjaan, termasuk pemberian subsidi.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kali terakhir cukai ‘dosa’ dinaikkan adalah pada 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) semasa itu mengambil alih sebagai kerajaan baharu.
Katanya, namun cukai yang dikenakan kepada sektor perjudian, minuman keras dan tembakau sudah pun tinggi, bukan hanya melalui cukai korporat sebanyak 24 peratus, tetapi juga pelbagai jenis cukai dan perlesenan.
“Sebagai contoh, cukai perjudian menyumbang kira-kira RM80 juta seminggu kepada kerajaan dengan cukai cabutan khas RM113.29 juta pada 2019 dan RM72.53 juta pada 2020.
“Kasino dan pengendali resort bersepadu, Genting dan Gen Malaysia sahaja membayar RM1.18 bilion cukai korporat untuk sembilan bulan pertama 2022.
Jelasnya, pertaruhan nombor ramalan (NFO) Magnum dan Sports Toto membayar cukai pendapatan RM49.99 juta, manakala pembuat minuman keras, Carlsberg dan Heineken membayar cukai RM78.52 juta.
Mengulas lanjut, Dr Aimi berkata, menurut data Kementerian Kewangan (MOF), dari 2010 hingga September 2021, kerajaan mengutip RM20.11 bilion dalam duti eksais ke atas produk arak, manakala hasil cukai tembakau dianggarkan lebih RM5 bilion setahun atau lebih tiga peratus daripada jumlah penerimaan cukai.
“Memang sangat mudah untuk ‘menghukum’ sektor ini, tetapi dari segi aspek pertambahan pendapatan negara tidak begitu digalakkan kerana kebergantungan kepada hasil yang tidak berkelulusan syariah.
“Dari aspek perniagaan pula ia boleh memberikan kesan negatif kepada pelaburan asing jika cukai segmen ini dinaikkan kerana menunjukkan dasar kerajaan yang tidak mesra perniagaan, malah suka menekan perniagaan apabila mahukan pendapatan lebih,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat langkah meningkatkan kadar cukai ‘dosa’ bukan sesuatu yang produktif kerana jumlah kutipannya tidak besar.
Malah, sebagai contoh katanya, apabila produk tembakau atau minuman keras dikenakan cukai lebih tinggi, jumlah jualannya menurun kerana pengguna beralih ke rokok seludup yang lebih murah.
“Jika kerajaan mahu menaikkan cukai kerana mahu menambahkan hasil, ini bukan caranya.
“Kaedah yang lebih baik ialah dengan meneliti pada cukai yang lebih produktif seperti cukai ke atas dividen atau cukai ke atas keuntungan modal.
“Jadi saya rasa kerajaan tidak perlu mengusik cukai ‘dosa’ ini untuk jangka pendek kerana hanya ada masa yang singkat untuk menyediakan Bajet 2023 ini.
“Sebaliknya, kita perlu menumpukan kepada aspek lain dan saya mengharapkan kerajaan berani menubuhkan tabung endowmen untuk perlindungan sosial dan ini tidak memerlukan cukai,” katanya.
Sumber: BH
Berita Berkaitan..
‘Kerajaan Perlu Contohi Kedah’- Dewan Ulama Pas
Dewan Ulama PAS Pusat menyeru kerajaan Persekutuan mengikut jejak langkah Kedah yang tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri di negeri itu bermula tahun ini.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, berkata kerajaan tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi, tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.
“Dewan Ulama PAS ingin menyeru kerajaan Persekutuan supaya turut mempunyai tekad politik yang sama. Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi, tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.
“Tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan, sebaliknya ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana.
“Lebih malang aktiviti perjudian sebaliknya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah atas ketegasan menghapuskan lesen premis perjudian di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari.
“Pelaksanaan dasar itu sekali gus memenuhi sebahagian daripada tuntutan al-Quran sendiri yang mencegah umatnya daripada judi.
“Tindakan ini menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang menamatkan lesen premis perjudian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS,” katanya.
Ahmad berkata, walaupun ramai yang meragui kemampuan ekonomi Kedah susulan penutupan premis judi, Kedah sebaliknya mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tahun 2021.
“Mereka (kerajaan negeri) berjaya menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi, selain menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di Kedah.
“Alhamdulillah, satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) berharap kerajaan negeri dapat menjalankan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dalam talian yang dijangka akan berleluasa berikutan semua premis perjudian dan loteri di Kedah ditutup sepenuhnya bermula semalam.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata sebelum ini pihaknya banyak menerima laporan daripada penghulu dan wakil kampung berhubung kegiatan perjudian dalam talian yang berlaku di kawasan mereka.
“Tahniah kepada kerajaan Kedah kerana berjaya menutup premis perjudian dan loteri selepas tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mereka. CAKE berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan lagi undang-undang terutama terhadap perjudian dalam talian.
“Selain itu, persatuan juga berharap kerajaan negeri dapat mengurangkan lesen penjualan minuman keras bagi mengehadkan penjualan arak yang dijual secara berleluasa di kedai-kedai biasa. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kadar kemalangan kerana ada yang memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya semalam susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.
Sumber: BH