Kakak 12 Tahun Tikam Adik Usia 9 Tahun Hingga Meninggal Dunia.  | OKLAHAMA — Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipercayai menikam adik lelakinya yang berusia sembilan tahun sehingga maut di blok 1000 ke-64 Selatan di selatan bandar itu pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Jabatan Polis Tulsa, Wendell Franklin, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.43 malam waktu tempatan. Susulan itu, pegawai perubatan dan anggota bomba Tulsa telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sejurus tiba, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah ditikam dan pegawai perubatan telah menjalankan Bantuan Pernafasan (CPR) kepada mangsa.

“Ibu bapa kanak-kanak terbabit sedang tidur di tingkat atas sewaktu kejadian itu berlaku. Mereka hanya sedar selepas kakak mangsa berusia 12 tahun telah menikam adiknya yang berusia 9 tahun,” kata Polis Tulsa.

Susulan itu, mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 pagi akibat mengalami kecederaan serius.

Tambah Wendell, beliau turut memaklumkan kejadian yang berlaku itu di media sosial. Suspek yang dirahsiakan butiran identiti kini telah ditahan dan dibawa ke Pusat Keluarga untuk pengadilan juvana.

Sehingga kini, motif pembunuhan masih belum dikenalpasti dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Tiada sebarang pertuduhan difailkan ke atas mangsa berikutan masih di bawah umur.

Sumber: Siakap Keli

Baca Juga: Kakak Tikam Adik Didakwa Sebabkan Kematian Tanpa Niat |

Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-kanak di sini, hari ini atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang berusia 16 tahun yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai di sini, jam 1.50 petang, 19 Oktober lalu.

Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, barisan pembelaan yang mewakili tertuduh iaitu peguam Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.

“Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri. Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malayaia (STPM),” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali.

Difahamkan, bapa tertuduh membayar ikat jamin berkenaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Dua beradik itu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

Ahli keluarga yang enggan identitinya didedahkan berkata, seluruh keluarganya terkejut dan tidak percaya insiden menyayat hati itu menimpa dua beradik berkenaan.

Katanya, dua beradik itu dididik dalam keluarga dengan penuh kasih sayang dan ketakwaan, dengan keluarga mereka amat rapat dan saling menyayangi.

Beliau berkata, kejadian itu bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah seluruh penduduk kampung.

“Kedua-dua beradik itu adalah anak yang baik dan sangat bijak. Mereka sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga.

“Mangsa yang berusia 16 tahun adalah bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah, manakala kakaknya belajar di Tingkatan Enam sekolah yang sama.

“Mereka berdua serta tiga lagi adik adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang. Mereka juga dididik untuk tidak meninggalkan solat dan taat pada perintah agama.

“Apabila menerima berita mengenai insiden malang ini, saya enggan percaya kerana ia sangat tragis dan menyayat hati,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, ibu bapa mangsa trauma dan amat tertekan dengan insiden malang yang menimpa anak sulung dan anak kedua mereka.

“Mereka amat sedih dan tidak keluar rumah sejak kejadian itu petang semalam, apatah lagi insiden tragis itu tular,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply