Kanak2 Jadi Lumpuh Akibat Kecuaian Hospital Menang Saman RM5.6 Juta | Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi mengarahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibayar pampasan RM5.6 juta atas kecuaian perubatan sebuah hospital kerajaan hingga mengakibatkan mangsa lumpuh.
Nur Adeena Mohd Syahmir yang dilahirkan pada 12 Mei 2020 melalui pembedahan Caesarean mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah.
Kanak-kanak itu selaku plaintif melalui bapanya menfailkan saman kecuaian perubatan terhadap 19 defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia dan 18 pegawai perubatan yang bertugas di sebuah hospital kerajaan.
Akibat kecuaian itu, ketika ini, plaintif bergantung kepada ventilator dan juga dipasang trakeostomi (tebukan pada leher).
Berdasarkan dokumen diperoleh media, defendan pertama (kerajaan Malaysia) mengakui liabiliti pada 26 Julai 2022 menyebabkan plaintif menarik balik semua tuntutan terhadap defendan kedua hingga ke-19.
Perbicaraan diteruskan untuk penilaian ganti rugi dan berlangsung selama dua hari di mana plaintif memanggil dua saksi iaitu ibu plaintif dan saksi pakar Dr Kavitha manakala defendan pertama memanggil saksi pakar S Mohaneswari.
Siasatan mendapati pegawai perubatan yang bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.
Dalam keputusannya pada Isnin, Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, tiada jumlah wang yang dapat mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu.
“Mahkamah berpandangan bahawa jumlah ganti rugi yang diberikan perlu sebagai pampasan untuk perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga dalam menjaga plaintif yang kurang upaya,” tambahnya.
Katanya, mahkamah mempertimbangkan keterangan daripada doktor pakar bahawa kanak-kanak itu berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun berdasarkan keadaannya.
Mahkamah memutuskan kanak-kanak itu berhak mendapat pampasan yang mencukupi sepanjang hayatnya.
Dalam penghakiman itu juga, mahkamah juga berpendapat plaintif berumur dua tahun perlu diberi pampasan yang mencukupi untuk menampung baki jangkaan hayatnya 21 tahun lagi.
Sumber: Harian Metro
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Tular Gambar Supercar Konvoi Halang Lalu Lintas, Polis Keluarkan Surat Saman | SHAH ALAM – Polis telah mengeluarkan saman kepada konvoi kereta mewah di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang tular dalam satu rakaman video.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakaman video berdurasi 49 saat yang dimuat naik di media sosial itu memaparkan beberapa kereta mewah dipandu secara konvoi dan menyebabkan halangan lalu lintas kepada pengguna jalan raya lain, pada Ahad.
Pemilik akaun media sosial dipanggil
“Kita telah memanggil pemilik akaun (media sosial) untuk siasatan dan seterusnya mengeluarkan saman atas kesalahan halangan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas untuk mengelakkan kemalangan, kesesakan dan kesusahan yang tidak sepatutnya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Sebarang ketidakpatuhan tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Lelaki Parkir Van Atas Bumbung Tak Tahan Asyik Disaman | Seorang lelaki yang merupakan jurutera awam di Taichung, Taiwan menyewa kren untuk meletakkan dua buah van di atas bumbung bangunan kediamannya, lapor portal berita Mothership hari ini.
Penduduk setempat mendapati dua van itu diletakkan di atas bumbung dan melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan kerana bimbang ia berbahaya, demikian menurut Central News Agency (CNA).
Lelaki itu berkata, pada mulanya, dia meletakkan kedua-dua vannya di bahu jalan tetapi berulang kali disaman kerana meletakkan kenderaan bukan di ruang pakir.
Dia menggunakan van itu sebagai ruang penyimpanan kerana tidak dapat memuatkan semua peralatan kejuruteraan awam di rumahnya, lapor saluran televisyen kabel satelit , EBC News.
Kedua-dua van itu dipercayai berada di atas bumbung tersebut sejak dua tahun lalu, kata Lin Kuan-jen yang merupakan ketua daerah tempatan seperti laporan CNA.
Kuan-jen berkata, dia telah meminta lelaki itu memindahkan kedua-dua van miliknya kerana penduduk setempat bimbang kenderaan itu berisiko menghempap mereka.
Pada Mac lalu, lelaki itu berkata, dia telah menemui tempat kosong untuk kenderaan itu tetapi masih belum memindahkannya.
Walaupun lelaki berkenaan didapati tidak melanggar mana-mana undang-undang, dia diberitahu supaya mengalihkan kenderaan itu bagi menjaga keselamatan orang awam.
Sumber : Kosmo