Kapal Tangki Bersauh Tanpa Kebenaran Ditahan APMM Pulau Pinang |Kapal tangki ENEOS OCEAN yang berdaftar di Jepun itu telah dikesan ketika Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melakukan pemantauan Op Pertiwi/Op Benteng Laut.

Kapal Tangki Bersauh Tanpa Kebenaran Ditahan APMM Pulau Pinang

Agensi berkenaan telah menahan kapal tangki yang disyaki bersauh di perairan ini tanpa kebenaran. Dalam pada itu, kejadian berkenaan dikatakan berlaku kira-kira pada jam 4 petang, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Abd Razak Mohamed, berkata mereka ditahan pada kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Kendi, si sini. Katanya, didapati kapal itu dalam perjalanan dari Singapura ke Fujuriah, Emiriah Arab Bersatu dan dikendali oleh 26 kru.

Katanya, mereka terdiri daripada empat warga Jepun termasuk nakhoda dan 22 kru warga Filipina yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Sementara itu, Abd Razak berkata, nakhoda dan tiga kru kapal terbabit dibawa ke ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi siasatan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

“Semua pemilik dan nakhoda kapal perlu memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia dan Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara dipelihara,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kecemasan di laut, boleh hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply