Kelab SKJP Jalankan Misi Khas Selamatkan ‘Si Bulus’ Akibat Banjir | KUANTAN, 21 Jan — Perasaan kasih dan sayang terhadap si bulus mendorong sekumpulan ahli Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) bertungkus lumus mengharungi banjir dan mempertaruhkan nyawa mereka menyelamatkan 200 ekor kucing di sekitar Kuantan dan Pekan.
Berkongsi mengenai misi menyelamat berkenaan, Pengerusi Kelab SKJP Jurina Abdul Rani berkata atas dasar tanggungjawab sebagai pencinta kucing, beliau bersama rakan-rakannya mengambil insiatif bagi menyelamatkan haiwan comel itu daripada menjadi korban banjir sejak 3 Jan lepas.
Menurutnya, selain menyelamatkan kucing peliharaan, ahli kelab SKJP turut membantu kucing jalanan menerusi misi berkenaan.
“Terlalu ramai orang yang menolong mangsa banjir tetapi ada kala terlepas pandang pada kucing… ada yang menelefon saya sambil menangis maklumkan tidak ada orang yang dapat menjaga kucing atau memberi makan pada kucing liar yang sering datang ke rumah sebelum ini.
“Sebagai pencinta kucing kami mengambil inisiatif untuk pergi menyelamatkan kucing-kucing ini, walaupun terpaksa meredah hujan dan banjir. Kami berhasrat membantu setakat mana yang termampu bagi menyelamatkan sebanyak mana yang boleh,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Menceritakan cabaran dalam misi menyelamat berkenaan, Jurina berkata pihaknya mempunyai kekangan dari segi pengangkutan untuk ke lokasi banjir kerana kebanyakan jalan ditutup kepada kenderaan ringan selepas mula dinaiki air.
“Kami perlu meminjam atau menyewa kenderaan pacuan empat roda. Malah, di Kampung Acheh, Pekan, kami terpaksa meminjam sampan penduduk untuk mengambil kucing di atas bumbung sebuah rumah kerana air sudah terlalu tinggi.
“Selain itu, sifat kucing yang takut air menyebabkan ia boleh bertindak agresif dan mencakar tangan dan muka kami semasa proses menangkap kucing tersebut,” kata Jurina dan menambah kelab SKJP mempunyai 120 ahli sekitar Pahang.
Selain rumah ahli kelab, 150 kucing peliharaan dan jalanan yang diselamatkan sekitar Kuantan ditempatkan di rumah perlindungan kucing di Pelindung, di sini manakala 50 ekor lagi yang diselamatkan di Pekan dijaga di pondok kucing SKJP.
“Untuk uruskan makanan kucing ini kami meminta sumbangan menerusi Facebook daripada orang ramai, walaupun sambutannya kurang memberangsangkan, kami cuba yang terbaik agar haiwan ini cukup makan dan sihat,” katanya.
Menurutnya, sejurus pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, semua pemilik kucing diminta untuk mengambil semula haiwan peliharaan mereka mulai semalam namun pihaknya akan terus menjaga kucing jalanan di bawah jagaan SKJP supaya ia tidak kelaparan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada SKJP melalui akaun Maybank 556093261496.
Sumber : BERNAMA