Keluarga Tawar RM10,000 Jika Jumpa Bapa Yang Hilang | IPOH: Keluarga mangsa hilang, Lau Sam, 84, menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang menjumpai mangsa, yang sudah lapan hari ketika mendaki bukit Puncak Jelapang.

Lau Kok Gian, 48, berkata ganjaran itu ditawarkan susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak ditamatkan semalam susulan gagal menemukan sebarang petunjuk.

Katanya, khidmat profesional seperti malim gunung turut dirayu bagi pencarian bapanya yang dikesan hilang kira-kira jam 6 petang 11 Mac lalu ketika melakukan aktiviti mendaki di Puncak Jelapang, di sini, bersama tujuh rakan.

“RM10,000 tetap ditawarkan kepada sesiapa yang menjumpai bapa saya baik dalam keadaan masih hidup atau sebaliknya, termasuk kepada anggota pasukan penyelamat yang turut serta dalam operasi SAR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden berkenaan di Kawasan Perindustrian dekat Taman Puncak Jelapang Maju, hari ini. Hadir sama, ibunya, Chin Ah Yoong, 81.

Kok Gian berkata, bapanya yang tidak menghidapi sebarang penyakit kronik disifatkan sebagai pendaki berpengalaman sejak lebih 30 tahun lalu, selain lokasi pendakian itu adalah trek biasa dilalui bapanya bersama rakan.

Beliau berkata, biarpun operasi mencari bapanya sudah ditamatkan pihak bomba, mereka sekeluarga menghargai jasa semua anggota yang terbabit dan memahami sebab operasi itu ditamatkan.

“Saya sangat hargai usaha pihak bomba mencari bapa dan saya faham penutupan operasi oleh bomba bukan sengaja dilakukan melainkan terlalu banyak rintangan yang sudah ditempuh, namun masih gagal menemukan petunjuk,” katanya.

Sementara itu, sumber polis memaklumkan, operasi mencari Lau Sam di kawasan dia dilaporkan hilang dilanjutkan seminggu lagi atas inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Sumber itu berkata, operasi SAR mangsa yang diteruskan IPD Ipoh bermula hari ini membabitkan 10 anggota setiap hari, dengan kekuatan tambahan dua anggota bersama anjing pengesan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Sebelum ini, polis turut menugaskan anggota Pusat Gerakan Am (PGA) bagi bantu mencari mangsa, selain menggunakan dron yang dilengkapi sistem pemantauan melalui imbasan suhu.

“Kita cuba seminggu lagi untuk mencari mangsa. Orang ramai, khususnya pendaki berpengalaman dan profesional yang ingin turut serta dalam pencarian, boleh berhubung dengan polis melalui PKTK yang didirikan polis berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Sumber: Awani

Share.

Leave A Reply