Kena Kebenaran Polis Jika Mahu Berbasikal Secara Berkumpulan | Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan penunggang basikal yang tidak berbasikal dalam satu barisan atau berkelompok di jalan raya.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, pihaknya sudah menetapkan bahawa tunggangan yang dibenarkan ketika beriadah dalam tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah secara satu barisan panjang sahaja.
“Memang kita tidak benarkan (secara berkelompok) dan sekiranya ada yang menunggang demikian, kita akan ambil tindakan undang-undang kerana tidak patuh prosedur operasi standard (SOP).
“Kita sudah tetapkan berbasikal di dalam satu barisan sahaja yang dibenarkan dan tidak boleh secara bersaingan antara satu sama lain.
“Jika ada yang mahu menunggang secara berkumpulan yang ramai, mereka mestilah mendapatkan kebenaran daripada pihak polis,” katanya ketika ditemui di Felda Mata Ayer hari ini.
Surina berkata, pihaknya turut tidak membenarkan sebarang aktiviti riadah menunggang basikal yang merentas ke Kedah.
“Kita kena menguatkuasakan larangan itu ketika ini kerana di Kedah, aktiviti tunggangan basikal adalah dilarang kerana situasi Covid-19 semasa di sana.
“Jadi bagi mereka yang berbasikal hanya dibenarkan di dalam negeri dengan mengikuti SOP yang ditetapkan,” katanya.
Sumber : HMetro