Masyarakat perlu berhemah dalam menggunakan elektrik dengan sentiasa memantau penggunaan tenaga di rumah serta memilih peralatan elektrik cekap tenaga dalam situasi kos penjanaan elektrik yang kian meningkat, menurut pakar.
Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Nik Hakimi Nik Ali berkata melalui pendekatan itu pengguna boleh menjimatkan bil elektrik serta dapat mengelak dikenakan caj Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) oleh syarikat pembekal elektrik.
Menerusi laporan Bernama, beliau berkata, jika kita menggunakan kurang daripada 300 Kilowatt per jam (Kwh) untuk sebulan, kita tidak dikenakan caj KWTBB, syarikat pembekal elektrik akan kenakan caj kepada pengguna yang menggunakan 300 Kwh ke atas dan duit itu disalurkan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Nik Hakimi juga menyarankan kepada masyarakat agar menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai kecekapan tenaga bertaraf lima bintang.
Jelasnya, sebagai contoh barangan yang memerlukan banyak tenaga seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan pendingin hawa, walaupun harganya lebih mahal tetapi ia dapat menjimatkan bil elektrik kita setiap bulan.
Tambahnya, dalam masa sama, pengguna juga boleh menukarkan lampu kalimantang kepada lampu diod pemancar cahaya (LED).
Katanya, jika satu rumah kita menggunakan lampu tersebut ia akan memberi impak terhadap penggunaan bil bulanan.
Timbalan Dekan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Profesor Hazlie Mokhlis pula menyarankan para pengguna mengoptimumkan penggunaan peralatan elektrik di rumah agar penggunaannya lebih cekap tenaga.
Beliau berkata, kalau di rumah kita guna kipas, perlu sentiasa membersihkan (kipas) agar kita dapat nikmati penggunaan maksimum manakala bagi penggunaan mesin basuh pula, kita perlu menggunakan secara optimum dan kalau kita hendak gosok baju (seterika), kumpul baju dulu kemudian gosok semua sekali sebab apabila kita buka/tutup suis, ia melibatkan banyak tenaga.
Beliau menyarankan orang ramai sentiasa melakukan audit tenaga di rumah agar dapat melihat sendiri trend penggunaan harian dan bulanan menerusi aplikasi MyTNB yang dibangunkan oleh syarikat pembekal elektrik negara itu.
Ujarnya, masyarakat juga boleh pantau bil elektrik ini menerusi aplikasi MyTNB dan melihat sendiri pola tenaga elektrik setiap bulan supaya dari situ pengguna tahu bagaimana untuk menjimatkan penggunaan elektrik dalam rumah.
Semalam, media tempatan melaporkan peningkatan harga bahan api fosil terdiri daripada arang batu, minyak dan gas asli dijangka mempengaruhi kenaikan kadar tarif elektrik sekali gus memberi kesan kepada Malaysia dan negara-negara di seluruh dunia.
Sumber: Astro Awani