Kerajaan Bakal Jadikan Kegiatan Menghendap Sebagai Satu Jenayah | Kertas dasar berserta cadangan pindaan rang undang-undang (RUU) untuk memastikan kegiatan menghendap atau ‘stalking’ diklasifikasikan sebagai satu perbuatan jenayah dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Disember ini.

Kerajaan Bakal Jadikan Kegiatan Menghendap Sebagai Satu Jenayah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata sebaik perkara itu dipersetujui Jemaah Menteri, pindaan berkenaan akan dibentangkan pula di Parlimen.

“Sejak awal 2020, draf pindaan RUU (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) sudah pun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan pembabitan agensi-agensi kerajaan lain dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kerajaan memberikan komitmen supaya menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebelum kertas dasar itu dibentangkan, beliau berhasrat mengadakan pertemuan bersama semua menteri, agensi kerajaan dan NGO berkaitan untuk memberikan gambaran kepada orang ramai dan lebih memahami kesan perbuatan menghendap kepada masyarakat.

“Kerajaan bertekad untuk memastikan perbuatan menghendap diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah pada tahun ini sebagai kelangsungan usaha Jawatankuasa Anti-Stalking yang ditubuhkan pada 2019 ke arah merealisasikan perkara itu.

“Satu mesyuarat diadakan di Parlimen semalam bagi membincangkan status kemaskini mengenai usaha menjenayahkan menghendap ataupun ‘stalking’.

“Mesyuarat diurusetiakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dihadiri agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Turut sama, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, wakil dari NGO, termasuk Women’s Aid Organisation (WAO) dan ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata, pada mesyuarat ini juga, tiga individu berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

“WAO juga menyerahkan memorandum yang ditandatangani 52 kumpulan dan petisyen disokong lebih 8,500 orang setakat ini untuk menggesa kerajaan segera menjenayahkan menghendap,” katanya.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply