Kereta Bertembung Lori ,Lelaki Cedera Parah | GOMBAK – Seorang lelaki cedera parah selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kolam Ikan, Batu Arang menghala Kota Puteri di sini, pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 7.09 pagi.
“Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Hafisham berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori dinaiki dua lelaki berusia 40-an bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun.
“Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Akibat kemalangan itu, mangsa patah kaki kanan telah diberi rawatan awal oleh pihak bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.
SUMBER: SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Dua Pelajar Sekolah Cedera Parah Dlm Nahas Dua Motosikal Bertembung
Dua Pelajar Sekolah Cedera Parah Dlm Nahas Dua Motosikal Bertembung | Seorang pelajar Tingkatan Empat putus jari dan patah tulang kaki kanan selepas motosikal ditunggangi kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Lubok China, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu ketika remaja lelaki berusia 16 tahun berkenaan dikatakan menunggang berasingan dua lagi individu di jalan berdekatan pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata laporan kemalangan itu diterima Trafik Alor Gajah daripada pihak Balai Polis Lubok China.
“Hasil siasatan mendapati pelajar lelaki terbabit menunggang Yamaha Lagenda dari arah Ramuan China Kechil menghala Lubok China. Dia didakwa menunggang dengan laju dan ada dua motosikal lain bersama yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya.
“Secara tiba-tiba, motosikal ditunggang mangsa didakwa memasuki laluan bertentangan dan terlanggar motosikal Modenas Kriss menyebabkan penunggangnya terjatuh.
“Akibatnya pelajar itu putus jari kaki dan patah tulang di bahagian tapak kaki kanan, manakala penunggang Modenas Kriss yang juga pelajar Tingkatan 5 disyaki patah kaki dan tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Arshad berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menaiki ambulans dan dirawat di wad kecemasan.
“Polis turut menahan motosikal mangsa untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : BH