Kereta Terbabas Ketika Lari Daripada Polis, 3 Individu Cedera Parah | SUBANG JAYA – Tindakan memecut kenderaan untuk melarikan diri daripada pihak polis membawa padah apabila kereta dinaiki sekumpulan individu termasuk kanak-kanak terbabas dalam kejadian di susur keluar Putra Heights, Lebuhraya Elite di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, kenderaan polis terserempak dengan kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota polis kemudian mengekori kenderaan suspek sambil membunyikan siren serta menyalakan lampu biru untuk mengarahkan suspek supaya berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan yang dinaiki sehingga melanggar palang Plaza Tol Seafield menuju ke Lebuhraya Elite,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, kenderaan suspek kemudiannya terbabas ketika melalui susur keluar Putra Heights.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dinaiki dua lelaki dan seorang wanita berumur berumur antara 20 hingga 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun.
“Tiga suspek mengalami kecederaan parah kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, semakan dijalankan mendapati kesemua suspek terlibat mempunyai rekod jenayah lampau.
“Salah seorang suspek masih dikehendaki dalam kes dadah di daerah Hulu Selangor.
“Buat masa ini kesemua suspek masih belum ditangkap kerana masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di hospital,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 / 279 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
Baca Juga: Seorang Mekanik Meningg4l Dunia Kereta Terbabas Rempuh Tiang Elektrik
Seorang mekanik maut apabila kereta dipandu terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Rohaizad Aimer Abu Kassim, 28, yang menetap di Felda Bukit Easter, dekat sini maut di lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Honda Civic dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru dalam perjalanan ke tempat kerja di Taman Kota Jaya gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Ekoran itu menyebabkan kenderaannya merempuh tiang elektrik di bahu jalan. Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu lelaki berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.
Dalam pada itu seramai enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid turut dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kemalangan mengakibatkan pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.
Pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pukul 8.26 pagi.
Sumber : UM