Kes Covid-19 Semakin Meningkat, Beijing Tutup Kawasan Awam. Pihak berkuasa bandar raya Beijing telah menutup beberapa kawasan awam dan meningkatkan pemeriksaan di tempat lain. Baca seterusnya.

BEIJING: Pihak berkuasa bandar raya ini menutup beberapa kawasan awam dan meningkatkan pemeriksaan di tempat lain manakala lebih 22 juta penduduk bandar itu memulakan ujian besar-besaran COVID-19 bagi mengelak penutupan seperti berlaku di Shanghai.

Ketika Beijing melakukan tiga kali saringan besar-besaran, beberapa kawasan kediaman, blok pejabat dan sebuah universiti beberapa daerah turut ditutup selepas jangkitan ditemui di sekolah, tempat hiburan dan tapak pelancongan.

Malah Universal Studios di Beijing turut mengumumkan pelawat perlu menunjukkan keputusan ujian negatif sebelum boleh memasuki taman tema itu, bermula esok.

Di seluruh Beijing, kes positif ditemui dalam 20 juta sampel yang diperoleh pada saringan pertama ujian besar-besaran, tetapi jumlahnya kecil.

Semalam, dilaporkan sebanyak 50 jangkitan baharu, meningkat daripada 34 kes sehari sebelumnya.

Sejak 22 April lalu, Beijing sudah menemukan lebih 160 kes, lebih separuh di Chaoyang, daerah paling ramai penduduk yang terkenal dengan hiburan malam, pusat membeli-belah dan kedutaan.

Selain itu, Yanqing, sebuah daerah kecil di utara Beijing dengan populasi 350,000 orang pula akan mula menyaring mereka yang tinggal dan bekerja di kawasan itu, walaupun ia tidak berada dalam senarai daerah yang diarahkan untuk menjalankan ujian besar-besaran minggu ini.

Setakat ini, Beijing cuba mengelak daripada mengganggu sektor ekonomi dengan membenarkan penduduk pergi bekerja walaupun mereka menjalani ujian, melainkan jangkitan ditemui dan penutupan setempat diperlukan.

Sumber: BERITA HARIAN

Share.

Leave A Reply