Kes 2 Beranak Dihanyutkan Air Deras. “Mereka 2 Beranak Sangat Rapat”. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : Padang Terap: “Mereka dua beranak sangat rapat, ketika ditemui pun dalam jarak 50 meter sahaja seolah-olah tidak mahu berpisah.

2 Beranak Dihanyut Air Deras

“Allah lebih sayangkan mereka dan kami sekeluarga reda dengan pemergian kedua-duanya, ” kata Md Tajuddin Awang Mohammad, 47.

Md Tajuddin adalah bapa saudara kepada Salmah Mat Zain, 46, yang ditemukan lemas hari ini selepas dihanyutkan air deras ketika mengharungi banjir bersama anak lelakinya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, di kawasan banjir di Kampung Tanjung Kanan, di sini semalam.

DITEMUI 50 METER DARI JASAD ANAK

Jasad Salmah ditemui tersangkut di bawah timbunan pelepah sawit dan tunggul kayu pada jarak kira-kira 50 meter dari jasad anaknya ditemui semalam di kawasan kelapa sawit di kampung itu.

Katanya, walaupun Muhammad Rosman seorang anak istimewa tetapi dia sentiasa menemani ibunya ke mana saja mereka pergi.

“Kami tinggal sekampung tetapi kadang-kadang jumpa mereka kerana Salmah selalu datang ke rumah saya yang mana terakhir pada Ogos lalu.

“Tak sangka kejadian ini berlaku kepada mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

MEREKA 2 BERANAK SANGAT BAIK

Terdahulu, Md Tajuddin melakukan pengecaman jasad Salmah sebelum mengesahkannya itu adalah anak saudaranya.

Katanya, dia memaklumkan jasad arwah dalam keadaan sempurna dan baik walaupun ditemui hari ini.

“Dari semalam lagi, naluri saya kuat mengatakan jasad Salmah akan ditemui hari ini.

“Apapun kami bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk polis, pihak Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung yang bertungkus lumus mencari jasad dua beranak ini sejak semalam.

“Salmah dan anaknya sangat baik dan mereka tinggal berdua sahaja di rumah itu,” katanya.

Md Tajuddin berkata, jenazah dua beranak itu dijangka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah Kampung Tanjung, di sini hari ini selepas selesai di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Katanya, kawasan itu kerap dinaiki air akibat banjir tetapi tidak seteruk yang berlaku semalam.

“Mungkin sudah ajal mereka dua beranak meninggal dunia di situ,” katanya.

CERITA DARIPADA GURU

“Saya kehilangan seorang pelajar yang baik dan rajin.

“Kali terakhir bertemu dengan Muhammad Rosman, pagi semalam ketika dia menaiki motosikal bersama ibunya kira-kira 30 minit sebelum tragedi itu berlaku dan itulah kali terakhir saya nampak dia ,” kata Norhidayah Shaari, 40.

2 Beranak Dihanyut Air Deras

Norhidayah adalah guru kelas yang mengajar Muhammad Rosman selama tempoh enam tahun ini.

Menurutnya, Muhammad Rosman, 19 adalah orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Padang Terap, di sini.

TERKEJUT TERIMA BERITA

Katanya, dia terkejut dan tidak menyangka apabila menerima berita pelajar dihanyutkan arus deras.

“Sebaik tiba di lokasi, saya sempat tengok Rosman dan ibunya hilang sambil menyebut namanya beberapa kali.

“Saya sebut… Timbullah Rosman, timbul cepat sebelum walau dalam apa jua keadaan sekalipun”.

“Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

TERNAMPAK MEREKA 2 BERANAK

Menurutnya, dia ternampak dua beranak itu menaiki motosikal sewaktu dia dalam perjalanan ke sekolah untuk melihat projek cendawan yang diusahakan mereka.

“Dalam hati saya berkata, awalnya dua beranak ini keluar tanpa memikirkan perkara lain.

“Tidak lama kemudian saya diberitahu Rosman dan ibunya dihanyutkan arus deras banjir,” katanya yang gagal menahan kesedihan.

Norhidayah berkata, dia juga berjanji akan mencari pekerjaan yang sesuai untuk Muhammad Rosman sekiranya tamat sekolah nanti.

Katanya, semuanya itu tinggal kenangan buatnya malah akan simpan kenangan dan gambar arwah sampai bila-bila.

“Memang arwah Rosman sangat baik.. minta tolong apapun dia akan tolong.. memang sedihlah rasa,” katanya.

 

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply