Kes Kanak-Kanak Dilanggar. Ini Komen Doktor Yang Ditunggu Ramai | Pemergian adik Nur Alisha Safiya selepas dilanggar van sekolah membuatkan seluruh rakyat Malaysia terkesan.
Apatah lagi rakaman CCTV itu tular di media sosial. Masing-masing bersimpati dan mendoakan keluarga arwah tabah dengan ujian tersebut.
Baru-baru ini, Seorang doktor bernama Kamarul Ariffin Nor Sadan ada berkongsikan tentang salah satu inisiatif yang boleh diajar kepada kanak-kanak di sekolah dan juga amalan pemandu ketika menurunkan kanak-kanak di suatu tempat.
Kes kemalangan kanak-kanak dilanggar oleh kenderaan yang mula maju (frontover) atau undur (backover) lazimnya adalah melibatkan kenderaan jenis SUV, van dan lori.
Ini kerana posisi duduk bagi pemandu kenderaan sebegini adalah lebih tinggi berbanding kereta. Posisi tinggi ini memberi kelebihan untuk pandangan jauh, tetapi satu keburukan untuk pandangan dekat.
Kenderaan besar begini boleh mempunyai titik buta setinggi 4-5 kaki (130-150cm) di hadapan bamparnya. Secara kasar, itu bersamaan ketinggian seorang kanak-kanak berusia 6-8 tahun.
Ini menjadikan kanak-kanak darjah satu dan dua berisiko tinggi untuk dilanggar jika mereka melintas betul-betul di hadapan kenderaan seperti van sekolah dan bas sekolah.
Di Jepun, salah satu langkah keselamatan jalan raya yang diajar kepada kanak-kanak adalah mengangkat tangan ke atas ketika melintas. Secara teori, ini akan menambahkan ketinggian mereka.
Bermakna, jika mereka berada di titik buta pada hadapan kenderaan, sekurang-kurangnya pemandu akan terlihat tangan mereka sewaktu mereka melintas di hadapan kenderaan itu.
Amalan ini tidaklah 100% berkesan mengelakkan kemalangan, namun ia sesuatu yang kita boleh ajarkan kepada anak-anak untuk dijadikan amalan bagi mengurangkan risikonya.
Selain itu, ia tanggungjawab pemandu van dan bas sekolah untuk memastikan penumpang(murid) selamat tiba pagar rumah masing-masing sebelum memandu pergi.
Antara amalan lain yang boleh dilakukan oleh pemandu adalah hanya benarkan penumpang(murid) turun di belah bahu jalan. Larang penumpang turun di sebelah jalan raya.
Disarankan juga, ketika kanak-kanak sekolah rendah naik dan turun daripada kenderaan sekolah, perlu ada orang dewasa (penjaga/ibubapa) yang mengawasi dan membantu mereka.
Sama-sama kita berusaha pastikan kes seperti ini tak berulang lagi.
Semoga bermanfaat!
Sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan