Rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dilaporkan telah selamat tiba ke Poland kira-kira jam 5.45 pagi tadi selepas mengharungi perjalanan darat lebih 10 jam dari ibu negara Ukraine, Kiev.

Konvoi itu memindahkan sembilan rakyat Malaysia, dua anggota keluarga warga Ukraine dan seorang warga Singapura itu tiba Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine-Poland.

Ia diketuai Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, Fadillah Daud yang disambut dua pegawai kedutaan Malaysia di Poland sebaik tiba.

Perkara tersebut disahkan disahkan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah di akaun Twitter beliau.

Katanya, kesemua mereka yang dievakuasi termasuk pegawai-pegawai pengiring akan meneruskan perjalanan ke Warsaw, Poland.

Kata Wisma Putra lagi dalam satu kenyataan, mereka sentiasa berhubung rapat dengan pegawai-pegawai Kedutaan bagi memastikan keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang dievakuasi dan juga konvoi yang turut serta.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan diplomat Malaysia yang terkandas di Kiev didakwa dalam perjalanan untuk keluar dari Ukraine menuju ke Poland menggunakan jalan darat.

Mereka dikatakan tidak berjaya keluar dari negara itu sebelum tentera Rusia menghampiri ibu negara Ukraine berkenaan.

Portal South China Morning Post melaporkan, mereka yang melarikan diri itu terdiri daripada lapan rakyat Malaysia dan dua warga asing yang bergerak menaiki empat kereta.

Menurut laporan portal tersebut, kesemua mereka mengambil tindakan tersebut disebabkan bas yang disewa tidak tiba.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply