Kota Kuno Yang Tertimbus Pasir Ditemui Di Mesir | Mesir sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan juga menjadi tarikan disebabkan oleh nilai sejarahnya dan juga ilmu yang terdapat disana. Namun negara padang pasir itu masih menyimpan beribu rahsia yang tidak diketahui oleh umum. Saban hari satu per satu rahsia kerajaan Mesir terdahulu telah berjaya dirungkai berdasarkan beberapa penemuan besar yang dijumpai.

Kota Kuno Yang Tertimbus Pasir Ditemui Di Mesir

Para ahli arkeologi telah berjaya menemui kota purba paling besar di Mesir pada beberapa hari lalu. Kota Purba itu telah tertanam dibawah padang pasir selama 1,000 tahun. Pakar-pakar telah menyifatkan penemuan ini sebagai satu penemuan paling signifikan sejak makam Firaun Tutankhamun ditemui pada tahun 1922.

Pakar sejarah Mesir, Zahi Hawass telah membuat pengumuman berkaitan penemuan ‘kota emas’ itu. Tapak kota emas itu telah ditemui di Luxor, iaitu kawasan yang menempatkan lembah para raja. Misi ekskavasi yang diketuai oleh beliau ini telah berjaya menemui kota kuno yang tertimbus di bawah padang pasir ini.

Kota itu dipercayai telah berusia 3,000 tahun dan wujud semasa zaman pemerintahan Firaun Amenhotep III. Kota itu juga telah terus digunakan sehingga pemerintahan Firaun Tutankhamun dan Firaun Ay. Pasukan arkeologi menganggap penemuan tersebut sebagai satu penemuan kota purba paling besar pernah di jumpai di Mesir.

Menurut Betsy Bryan, Professor Seni dan Arkeologi Mesir dari Universiti Johns Hopkins, penemuan kota kuno itu merupakan penemuan kedua paling penting sejak penemuan makam Tutankhamun. Turut ditemui barang kemas seperti cincin ditemui bersama periuk belanga, tangkal dan bata tertera cap mohor Amenhotep III.

Menurut Zahi Hawass yang juga merupakan bekas Menteri Antikuiti Mesir, sebelum ini telah banyak misi arkeologi asing mencari kota ini namun tidak ditemui.

Pasukan arkeologi yang mencari kota purba ini telah memulakan ekskavasi pada September 2020 di sebuah lokasi di antara kuil Ramses II dan Amenhotep III dekat Luxor, sekitar 500 kilo­meter ke selatan ibu negara Mesir, Kaherah.

Menurut mereka, dalam masa beberapa ming­gu saja, formasi bata mula muncul dari segenap arah. Apa yang mereka telah temui adalah tapak sebuah kota purba besar yang berada dalam keadaan terpelihara. Dinding-dinding dan perkakasan yang digunakan juga masih dalam keadaan yang terpelihara dan hampir sempurna.

Sumber: Kosmo!

Share.

Leave A Reply