Kubur Suspek Serang Balai Polis Diasingkan. Ini SEBABNYA. | KHALIFAH MEDIA NETWORKS : JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram. Sehingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.
Keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu. Yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis. Dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan hari ini, berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.
Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
FATWA JENAZAH SUSPEK
“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan.
Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lalu itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu parah.
Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian.
Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Jenazah penyerang insiden berdarah Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal lagi Jumaat lalu, dilaporkan dikebumikan pada jam 12.30 tengah hari di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini.
Bagaimanapun kedudukan kubur yang disediakan terletak di hujung tanah perkuburan tersebut iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.
Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, berkata, pihaknya dimaklumkan Pejabat Kadi Daerah untuk menjarakkan lokasi kubur suspek berbanding kubur lain
“Untuk itu kita telah menyediakan tapak kubur di hujung kawasan tanah perkuburan berkenaan,” katanya ketika ditemui.
Pengebumian hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang mengawal ketat keadaan sekitar.
Sumber : BH