Lebih 500,000 Guru Bakal Terima Vaksin Fasa Kedua | Lebih 500,000 guru di sektor pendidikan awam dan swasta sedang disenaraikan untuk dimasukkan dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang bermula hari ini.

Lebih 500,000 Guru Bakal Terima Vaksin Fasa Kedua

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia sebagai persediaan bagi membolehkan golongan itu dapat diberikan vaksin bagi fasa dua ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyenaraikan nama guru-guru berkenaan untuk dimasukkan dalam sistem agihan vaksin sebelum diberikan tarikh janji temu.

“Sebelum ini, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) memutuskan supaya guru disenaraikan sama untuk menerima vaksin seperti tiga kumpulan lain bagi fasa dua ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek risiko penyebaran jangkitan Covid-19 khususnya di sekolah.

“Bagaimanapun, ia (pemberian vaksin) masih juga tertakluk kepada bekalan vaksin yang diterima negara,” katanya pada sidang media perkembangan PICK, di sini hari ini.

Katanya, setakat ini, seramai 11,902 daripada 54,537 guru yang mempunyai penyakit kronik sudah menerima suntikan dos pertama manakala, selebihnya akan diberi suntikan bulan ini.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada pengamal media, Khairy Jamaluddin berkata, beliau menjangkakan kumpulan itu akan diberi suntikan mulai Mei ini.

Menurutnya, ketika ini tumpuan agihan vaksin adalah kepada tiga kelompok utama iaitu warga emas, pesakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU).

“Kita cuba cari ruang pada Mei ini untuk memulakan agihan vaksin kepada pengamal media.

“Apa yang saya boleh janjikan, apabila kita sudah ada bekalan vaksin yang cukup terutama bermula Mei dan Jun ke atas, kita akan beri keutamaan itu kepada pengamal media seperti yang dijanjikan,” katanya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply